Air Sungai Golok naik, mangsa banjir di Kelantan meningkat

Air Sungai Golok naik, mangsa banjir di Kelantan meningkat

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 42 orang tengah hari ini berbanding 26 orang pada pagi tadi, menurut portal rasmi kerajaan Kelantan.

Menurut portal http://ebanjir.kelantan.gov.my, setakat 11 pagi tadi, seramai 16 orang daripada lima keluarga dari Gunong dan Jelawat, dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat dan Dewan SMK Beris Panchor, Bachok.

Selain itu, 26 mangsa melibatkan lima keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, Pasir Puteh, sejak semalam.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat 12 tengah hari ini, paras air di Sungai Golok semakin meningkat kepada 8.88 meter berbanding 8.75 meter pada pukul 8 pagi tadi (paras amaran 8 meter).

Bagaimanapun, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah, pula menurun kepada 13.58 meter tengah hari ini berbanding 13.82 meter pada pukul 8 pagi tadi (paras berjaga-jaga 12 meter).

Di Pasir Mas, tinjauan Bernama di pekan Rantau Panjang mendapati peniaga mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan barangan jualan mereka ke tempat yang lebih tinggi sebagai persiapan menghadapi banjir.

Lim Cheng Seng, 57, berkata dia mula memindahkan pelbagai barangan runcitnya ke rak yang lebih tinggi sejak mula membuka kedainya pada pukul 9 pagi selepas paras air Sungai Golok menunjukkan peningkatan.

“Saya berbuat demikian kerana kedai hanya terletak kira-kira 20 meter dari Sungai Golok. Saya risau jika banjir tiba-tiba berlaku sekaligus menyebabkan kerugian kerana tak sempat selamatkan barang runcit,” katanya.

TAGS