AirAsia sasar tambahan tiga juta penumpang ke Langkawi

AirAsia sasar tambahan tiga juta penumpang ke Langkawi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

AirAsia menyasar untuk membawa tiga juta lagi penumpang ke Langkawi dalam tempoh lima tahun akan datang, susulan permintaan berpotensi bagi destinasi pelancongan terkenal itu.Pada 2015, AirAsia membawa sebanyak 1.6 juta penumpang bagi laluan Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata untuk mencapai sasaran tersebut, syarikat sedang meneliti lebih banyak laluan antarabangsa dari dan ke Langkawi, termasuk Hong Kong, Jakarta dan Shanghai.

AirAsia meraikan penerbangan sulung dari Guangzhou, China ke Langkawi di Kompleks Lang Merah, Lapangan Antarabangsa Langkawi, di sini hari ini.

Semasa Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi pada Mac tahun lepas, syarikat penerbangan tambang rendah itu mengumumkan Langkawi akan menjadi hab antarabangsa terbarunya.

“Perancangan kami adalah menempatkan lima pesawat beroperasi di laluan ini dan dalam tempoh lima tahun akan datang, kami yakin AirAsia boleh mencapai lima juta penumpang.

“Kami berusaha untuk menambah lebih ramai penumpang ke Langkawi dan Kedah,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan penerbangan sulung itu di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut bersama-sama meraikan ketibaan penerbangan itu dengan muatan 92 peratus pagi tadi.

Antara tetamu penerbangan itu termasuk wakil Lembaga Pelancongan Guangdong dan kumpulan media dari Guangzhou.

Guangzhou adalah ibu kota dan bandar terbesar bagi wilayah Guangdong di selatan China.

Kumpulan media tersebut akan dibawa menjelajah Langkawi melalui kunjungan suaikenal yang dianjurkan bersama AirAsia, Lembaga Pembangunan Langkawi, hotel The Datai Langkawi dan Starwood Hotels Group.

AirAsia ketika ini menguasai 60 peratus pasaran laluan udara Langkawi, dengan menawarkan penerbangan terus ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura.

Fernandes berkata laluan Guangzhou-Langkawi tidak hanya mengukuhkan kedudukan syarikat itu di Langkawi, malah akan melonjakkan lagi ekonomi pulau tersebut dengan potensi pelaburan akan datang dari China.

Beliau yakin Langkawi akan menjadi satu daripada destinasi pelancongan utama dengan lebih banyak kesalinghubungan antarabangsa, dan, akan menjadi pilihan utama pelancong China dalam tempoh terdekat.

“Apabila menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsa, kami yakin dapat meningkatkan pelancongan di pulau ini.

“Kami telah membuat pelaburan yang besar untuk memastikan hab ini dapat menampung dan memudahkan pertumbuhan laluan yang kami unjurkan, dan mencapai matlamat menjadikan Langkawi sebagai hab penerbangan tambang murah serantau,” katanya.

Fernandes berkata AirAsia mencatatpurata tempahan melebihi 80 peratus bagi permulaan penerbangan sulung dari Guangzhou, sekaligus menunjukkan perkembangan pesat dalam pelancongan Langkawi dari aspek pelancong China.

Bagi meraikan penerbangan sulung itu, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua daripada serendah RM199 sehala dari Langkawi ke Guangzhou mulai 25 Jan hingga 7 Feb, 2016 untuk tempoh penerbangan 25 Jan hingga 2 Mei, 2016.

— BERNAMA

CATEGORIES