Akar umbi Pas Selangor desak Pas putus hubungan dengan PKR

Akar umbi Pas Selangor desak Pas putus hubungan dengan PKR

Sekumpulan orang yang mendakwa diri mereka akar umbi Pas Selangor menghantar memorandum kepada kepimpinan pusat bagi mendesak parti itu memutuskan hubungan dengan mana-mana parti yang ada kaitan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mereka menuntut Pas mengambil perhatian terhadap hubungan antara parti itu dengan PKR yang kini disifatkan bagai “duri dalam daging” serta “gunting dalam lipatan”.

“PRU14 (pilihan raya umum ke-14) hampir tiba. Sebagai petugas parti kami berasakan sudah sampai masanya Pas berdiri tanpa diganggu oleh parti lain yang sarat dengan masalah keperibadian serta ketamakan kuasa yang agak melampau.

“PKR juga wajar diambil perhatian kerena mereka ibarat duri dalam daging serta gunting dalam lipatan.

“Kami agak kurang selesa dengan PKR kini. Kebencian telah mulai dirasai,” kata Nasiruddin Mohamed seperti dipetik Malaysiakini.

Beliau mengetuai penyerahan memorandum di Pejabat Agung Pas semalam.

Memorandum tersebut diterima Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang juga anggota parlimen Temerloh.

Pada penyerahan memorandum itu juga kumpulan terbabit membawa sepanduk memaparkan wajah pemimpin utama Pakatan Harapan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Satu daripada sepanduk itu memaparkah wajah Lim Kit Siang dengan kata-kata: “Musuh Melayu/Islam (Rasis), manakala yang lain menggunakan gambar bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan ayat iringan “Punca Rumah Tangga Aku Hancur”.

Dua lagi sepanduk memaparkan wajah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dengan masing-masing bertulis “Kepala Perompak Negara” serta “Pengkhianat Parti”.

Sementara itu Nasrudin yang ditemui pemberita berkara apa yang dibangkitkan oleh akar umbi Pas Selangor itu akan diputuskan dalam muktamar Pas pada April ini di Kedah.

“Sememangnya Pas telah mempunyai satu keputusan yang jelas kita tidak ada lagi hubungan dengan DAP dan Amanah.

“Ada pun parti-parti lain itu masih dalam perkiraan, pertimbangan dan penelitian teliti daripada pihak PAS terutamanya apa yang disebut presiden ia mungkin akan dibincangkan dalam muktamar PAS yang akan berlangsung pada 28 April depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata sehingga kini Pas masih berbincang sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan PKR dan Bersatu atau tidak.

“Bersatu ini parti baru yang belum ada apa-apa hubungan jadi kita tak boleh samakan dengan PKR yang kita dah meterai (kerjasamanya) lama dulu dan hanya perlu semakan untuk teruskan atau tidak. Itu terpulang kepada muktamar dan Majlis Syura Ulamak,” katanya.

 

TAGS