Akhlak Nabi Muhammad dalam pergaulannya

Akhlak Nabi Muhammad dalam pergaulannya

Saya selalu membaca pelbagai buku atau artikel memoir tokoh masyarakat termasuk pemimpin dunia yang telah berbakti seluruh hidup mereka demi satu idea yang mereka perjuangkan.

Mungkin beliau seorang tokoh pendidik yang telah berkorban demi anak bangsa mahupun tokoh murabbi yang mendidik para mad’u yang disantuni hingga merubah kondisi masyarakat. Tidak kurang tokoh politik yang luar biasa dan menghabiskan seluruh hidupnya demi masyarakat dan negara.

Kerapkali saya amat mengkagumi keperibadian dan semangat yang dipamerkan dalam hidup mereka. Misalannya saya pernah mengikuti satu kumpulan penyelidik membuat kajian sumbangan Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim.

Penyelidikan ini membawa saya bertemu murid mahupun keluarga terdekat beliau mahupun peranan beliau dalam pelbagai peristiwa. Penyelidikan ini membawa ke Jakarta, Bandung, Kota Singapura, Brunei Darus Salam dan tak lupa Kota London, National Archives serta University Cambridge.

Kebiasaanya tokoh sehebat ini dilahirkan bukan untuk mereka menikmati kehidupan semata-mata akan tetapi kuasa dalaman dan niat yang telah menginspirasikan hidup mereka demi satu matlamat perjuangan.

Ada kuasa dalaman yang telah menyentuh kalbu mereka mungkin melihat sendiri nasib anak bangsa yang terjajah dan kelemahan yang meruntun mereka untuk menggerakkan diri berjuang demi satu matlamat yang mulia dan orang-orang seperti inilah yang melahirkan sejarah baru. Mereka hidup untuk mencipta sejarah mulia.

Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

“Sebaik Baik Manusia Adalah Yang Paling Bermanfaat Bagi Orang Lain”

Hari ini di tengah kancah politik Negara dan wawasan mengislah Negara demi masa depan yang lebih baik (Harapan Baru), saya terfikir dan ingin mengkaji bagaimana sosok keperibadian Nabi Muhammad s.a.w beraksi di tengah kebobrokan budaya dan kepercayaan masyarakat Arab Mekkah. Persoalan kita ialah bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. mendapatkan kepercayaan umatnya pada masa itu?

Umat Arab memang istimewa sama ada dari segi sejarah mahupun geografi. Sejak azali ada nilai-nilai yang mulia yang terbentuk di kalangan masyarakat arab seperti menghormati tetamu mahupun melayan pengembara yang kehausan. Ada sistem pemilihan pemimpin atau ketua. Ada sifat keberanian mempertahankan tanahair mahupun maruah keluarga atau juga sifat suka berniaga dan berdagang jarak jauh hingga ke Syam.

Cetusan minda saya ini ialah kerana stail, cara, metod dan akhlak dan keperibadian Nabi yang unggul itu mempunyai daya tarikan maha hebat. Pasti kita mengatakan beliau adalah Nabi! Sudah pasti dibantu Allah SWT yang menguasai tujuh petala langit dan bumi. Namun kita membaca sejarah nubuwwah bahawa ada para Nabi yang tidak mempunyai pengikut bahkan bahkan ada di kalangan mereka dibunuh oleh kaumnya.

Untuk sekelian kali dalam artikel yang ringkas ini saya meyakini jika para aktivis siasah atau politik mahu membawa perubahan kepada landskap tanah air dan mengapai matlamat kejayaan comtoh terbaik seorang politikus adalah Nabi Muhammad s.a.w..

Jika kita membaca dan merujuk beberapa kitab sirah saya selalu terfikir dan membayangkan keperibadiannya yang tinggi itu. Bagaimana tingkah laku nabi, cara pertuturannya, cara beliau menghormati tokoh pemimpin walaupun mungkin belum memeluk Islam, cara melayan tetamu, kesukaannya bersama si miskin, kanak-kanak kecil penuh riang yang mengekori nabi sambil menarik tangannya yang mulia.

Hingga keharuman wangian nabi berada di atas tubuh anak-anak kecil itu. Penghormatan beliau kepada hamba mahupun si miskin atau akhlak dan sapaannya kepada kaum wanita dengan penuh hormat. Lihat juga cara beliau berhujjah dengan para pembesar Quraish jelas berbeza mendedahkan kepribadiannya yang sangat tinggi dan mulia.

Semua ini meruntun kalbu dan otak pemikiran saya bahawa inilah rahsia untuk menang. Menang menawan hati semua segmen masyarakat. Menang terhadap musuh dengan keperibadian yang mulia hingga tertunduklah seluruh masyarakat Arab oleh kehebatan keperibadian ini.

Tokoh maha hebat ini kemudian mencetak kader-kader baru dari kalangan para sahabah. Mereka juga menjadi unggul dan mempunyai keperibadian baru yang amat menarik dan menawan!

Hari ini secara umum para politikus seringkali berbicara kadangkala dengan penuh keegoan, bahasa yang kesat, hati yang keras, menuding sana-sini dan mengaibkan musuh politik walaupun hakikatnya pengucap itu sendiri juga berakhlak yang sama kotor dan jelik. Hal ini mesti kita tinggalkan.

Ada yang mengkritik rasuah sana-sini namun betulkah beliau menolak sebarang rasuah walaupun satu sen pada masa kini dan pada masa berkuasa. Betulkah kita menolak riba dan seluruh sistemnya. Betulkah kita menjaga integriti organisasi kita tanpa pecah amanah. Betulkah kita telah mengamalkan apa yang kita syarahkan? Kalau Nabi bagaimana agaknya?

Dialah orang paling awal masuk ke dalam Masjidil Haram pada dinihari. Dialah yang mengikat perutnya dua kali lipat kerana menahan kelaparan. Tilamnya hanya pelepah tamar yang dibalut kain guni yang kasar hingga berbekaslah tubuhnya yang mulia hingga mengalirlah air mata Sayyidina Umar Al-Khattab.

Dapur rumahnya sesekali sahaja berasap dan makan hanya roti kering dan sedikit minyak zaitun. Dialah yang menyapu rumahnya dan dia jugalah yang menjahit bajunya yang koyak. Dialah yang bangun hampir sepanjang malam sujud begitu lama bermunajat ke langit yang tinggi. Dialah yang kesihan belas terhadap anak yatim dan miskin. Dialah yang memberi mereka makan dan berhutang demi membantu si miskin.

Jika begitu mengapa para politikus dan pemimpin kita kurang berminat mencontohi Baginda.

Jika benar kita semua para pejuang siasah terlalu besar gap antara apa yang kita ucapkan dengan apa yang kita hayati maka rahsia kejayaan perjuangan ialah mengisi ruang ini dengan sifat-sifat yang mulia yang dipamer oleh Baginda Ar-Rasul.

Kita semua mesti memulakan dengan diri kita terlebih dahulu. (Ibdak binafsika) Mulakan langkah hari ini dengan sifat mulia. Mulakan langkah dengan kejujuran. Raih keredhaan Ilahi sebelum meraih keredhaan manusia. Berjuang dengan penuh ikhlas dan insyaAllah kemenangan akan berpihak kepada mereka yang benar.

Saya yakin kuasa magnet menarik manusia umum kepada kita akan berlaku secara natural. Bukan dengan paksaan mahupun secara tipu helah.

Perjuangan perlu disampai dengan penuh keikhlasan. Perjuangan demi mencapai maslahah bagi rakyat dan mengelakkan mafsadah dan keburukan.

Pada waktu itu kebobrokan pemerintah yang zalim akan terdedah dan rakyat terbanyak akan melihat siapa golongan yang jujur dan setia dan siapa yang membohongi rakyat selama ini. Namun rahsia utama ialah kita berlaku jujur dengan diri kita dan jujur dan berakhlak mulia dengan Pemilik dan Penguasa alam ini. Titik!

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan hari pembalasan? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. Orang-orang yang berbuat riya’ dan enggan (menolong dengan) barang berguna.” (QS. Al Maa’uun: 1-7).

TAGS