Akta 164: Pas puji Umno, serang DAP dan AMANAH

Akta 164: Pas puji Umno, serang DAP dan AMANAH

Selepas tulisan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor bertajuk, 'RUU 164: Tragedi Malang Buat Umat Islam di Negara Ini' menerima kecaman banyak pihak, Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan tampil dengan kenyataan yang 'menawarkan cadangan penyelesaian'.

Ahli Parlimen Temerloh itu bagaimanapun memulakan kenyataannya berhubung pindaan kepada Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) dengan memuji kerajaan Umno-BN tetapi pada masa sama menyerang AMANAH dan DAP.

Beliau mendakwa kedua-dua komponen parti Pakatan Harapan itu menentang langkah untuk mengugurkan Fasal 88A yang berkaitan dengan penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Terlebih dahulu, saya menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana mendengar desakan dan tuntutan Pas, para mufti, alim ulamak, pengamal undang-undang Islam, NGO dan umat Islam untuk mengeluarkan cadangan Seksyen 88A dari draf pindaan Akta 164 baru-baru ini biar pun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk DAP dan PAN,” katanya.

Singkatan ‘PAN’ digunakan pemimpin dan media Pas bagi merujuk kepada Parti Amanah Negara walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 1 Oktober 2015 telah meluluskan singkatan ‘AMANAH’.

Nasrudin selanjutnya berkata, Pas akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman dalam tempoh terdekat bagi mengemukakan beberapa cadangan terhadap pindaan Akta 164 sebelum dibawa ke Dewan Negara ‘demi menjaga kemaslahatan agama dan ummatnya’.

Bagi menangani apa didakwanya sebagai ‘situasi pertikaian dan perselisihan yang masih wujud’, beliau juga menyarankan Kluster Pengharmonian Undang-Undang Sivil-Syariah dijadikan platform untuk membincangkan semula isu berbangkit ekoran pindaan Akta 164.

Saranan Pas itu, jelas Nasrudin, agar hak Islam sebagai agama negara ini terpelihara serta polemik antara agama dan kaum dapat diharmonikan.

“Insyaallah, Pas sekali lagi akan menggunakan platform Dewan Negara melalui senatornya untuk mengemukakan gesaan kepada kerajaan supaya meneliti semula secara holistik Pindaan Akta 164, agar terlebih dahulu mengambil kira beberapa pandangan yang dikemukakan oleh Pas dan pakar perundangan Islam sebelum ianya dimuktamadkan,” katanya.

Selain itu, tambah Nasrudin, Pas turut akan menganjurkan Muzakarah Perundangan juga pada masa terdekat melibatkan alim ulamak, ahli akademik, pakar perundangan, NGO Islam dan pihak berkenaan bagi melihat secara lebih terperinci kesan daripada pindaan Akta 164 ke atas ummat Islam dan rakyat keseluruhannya.

TAGS