Aktivis mahu Malaysia anjur misi ke Gaza

Aktivis mahu Malaysia anjur misi ke Gaza

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Aktivis “Women’s Boat to Gaza” (WBG) dari pelbagai negara berharap Malaysia dapat menyediakan flotila atau bot, sekali gus menganjurkan misi kemanusiaan ke Gaza pada masa akan datang.

Wakil tunggal Malaysia dalam WBG, Dr Fauziah Mohd Hasan, 59, berkata harapan tersebut disuarakan kerana aktivis berkenaan melihat Malaysia mampu menganjurkan sesuatu dengan teratur.

“Banyak permintaan (aktivis) supaya Malaysia menganjurkan misi seterusnya, tapi ia dinyatakan secara ‘bisik-bisik’ dalam kalangan aktivis WBG,” katanya selepas program bual bicara bersama beliau semalam.

Program itu dianjurkan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak dan Humanitarian Care Malaysia (MyCare).

Dr Fauziah antara 13 aktivis ditahan pihak berkuasa Israel semasa mengikuti pelayaran kapal Zaytouna-Oliva dalam misi WBG ke Gaza yang diasaskan Freedom Flotilla Coalition (FFC), awal Oktober lalu.

Ketika ditanya misi WBG akan datang, Dr Fauziah berkata, satu mesyuarat dijangka diadakan pada Mei tahun depan di Stockholm, Sweden bagi membincang dan memperincikannya.

“Selagi sekatan Israel ke atas Gaza tidak dipecahkan, maka misi flotila tidak akan dihentikan,” katanya yang juga penasihat pertubuhan bukan kerajaan “Rose2Rose”.

Sementara itu, Dr Fauziah berkata, beliau sudah menulis surat terbuka kepada Menteri Luar merangkap Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk mengambil peranan menghentikan keganasan terhadap etnik Rohingya di Rakhine.

Surat terbuka bertarikh 30 November yang disiarkan di laman sesawang “Rose2Rose” itu antara lain meminta Yangon membenarkan misi kemanusiaan masuk ke Rakhine bagi memberi bantuan kepada etnik Rohingya.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai sebarang misi bagi membantu etnik Rohingya, Dr Fauziah berkata, ia sukar dilaksanakan kerana terdapat laporan melarang wanita bertudung memasuki Rakhine disebabkan keadaan sangat berbahaya.

Beliau bagaimanapun berkata, MyCare akan cuba menyalurkan bantuan menerusi rakan NGO dalam gabungan South East Asia Humanitarian Committee (SEAHUM) yang berpangkalan di Indonesia.

TAGS