Akuan berkanun Rafizi Ramli berhubung dana 1MDB ke akaun Nasharudin

Akuan berkanun Rafizi Ramli berhubung dana 1MDB ke akaun Nasharudin

Bahawa saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI (No Kad Pengenalan 770914-11-5025) yang beralamat di A405, Kyoto Garden Condominium, Bukit Antarabangsa 68000 Ampang dengan ini membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun bagi tujuan mendedahkan satu perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang negara melibatkan sejumlah wang syarikat milik negara kepada seorang tokoh politik Pas yang dibayar melalui akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu, saya dengan ini mengisytiharkan perkara-perkara berikut:

Pada 28 Januari 2017, saya telah bertemu dengan seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertanya khabar setelah beliau bersara dari perkhidmatan kerajaan. Itu adalah kali pertama saya mempunyai apa-apa komunikasi dengan beliau baik secara elektronik atau bersua muka.

Beliau adalah pegawai SPRM terkanan yang mengetuai siasatan ke atas dana 1MDB dan keterlibatan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di dalam skandal tersebut. Oleh itu, beliau mempunyai maklumat yang sahih dan terperinci mengenai siasatan dan aliran dana dari 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri; seterusnya ke akaun-akaun tokoh politik lain.

Kami berkongsi maklumat dan pengetahuan sebagai rakyat biasa mengenai kes 1MDB kerana beliau kini bukan lagi kakitangan kerajaan.

Beliau menyebut kepada saya bagaimana siasatan SPRM turut mengesan sejumlah wang yang dibayar dalam bentuk cek dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri kepada Dr. Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden Pas.

Butiran lanjut mengenai bayaran tersebut seperti yang disebut secara lisan kepada saya adalah seperti berikut:

Siasatan SPRM ke atas SRC International Sdn Bhd mendapati sejumlah dana SRC International Sdn Bhd telah dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, terdapat bayaran kepada peguam tertentu.

SPRM telah menyoal siasat peguam tersebut dan mendapatkan bukti tokoh-tokoh yang dibayar menggunakan wang SRC International Sdn Bhd yang disalurkan melalui peguam tersebut.

Salah seorang dari penerima bayaran dari peguam tersebut adalah Dr Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden Pas.

Saya tidak dapat mengesahkan sama ada peguam yang dimaksudkan adalah Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang pernah didakwa menerima sejumlah RM3.5 juta dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, seperti yang didakwa oleh laman Sarawak Report yang turut menunjukkan butiran pemindahan wang seperti berikut:

Dipetik dari laporan Sarawak Report

Pegawai penyiasat terkanan SPRM itu turut memaklumkan saya bahawa seorang wakil rakyat dari Parti Islam Se-Malaysia (Pas) iaitu Dato’ Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus pernah datang berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan kesahihan penglibatan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam skandal 1MDB dan dakwaan pemindahan wang ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Pegawai penyiasat terkanan itu memaklumkan saya bahawa beliau ada memberi maklum balas kepada permintaan mendapatkan kesahihan dari pimpinan Pas itu.

Saya percaya maklumat ini wajar diketahui oleh rakyat terutamanya mengenai aliran dana SRC International Sdn Bhd ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kemudiannya disalurkan kepada tokoh-tokoh tertentu; terutamanya seorang mantan pimpinan tertinggi Pas, Dr Nasharuddin Mat Isa yang paling lantang memperjuangkan kerjasama Umno dan Pas.

Perkara ini ada unsur salah guna kuasa yang boleh disiasat di bawah pelbagai undang-undang negara sekiranya bayaran kepada seorang mantan pimpinan Pas itu adalah pertukaran kepada usaha melunakkan suara Pas (sebagai parti pembangkang utama) dalam isu-isu bersabit skandal 1MDB dan pemindahan wang ke akaun YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya juga nekad untuk mendedahkan perkara ini kerana Dr. Nasharuddin Mat Isa juga telah dilantik oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM. Sebagai seorang penerima dana rakyat 1MDB (melalui SRC International Sdn Bhd) yang telah disiasat oleh SPRM, beliau tidak layak berada di kedudukan itu dan wajar meletakkan jawatan segera.

Dengan pendedahan ini, saya berharap rakyat sedia maklum bahawa kertas siasatan SPRM ke atas dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak telah siap dan lengkap dengan bukti kepada siapa bayaran-bayaran telah dibuat.

Mengambil kira kenyataan Peguam Negara bahawa siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd masih belum ditutup, saya akan membuat satu laporan kepada SPRM untuk membuka kembali siasatan ke atas dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya dengan ini mengesahkan kesemua kenyataan di atas adalah maklumat-maklumat mengenai pemindahan wang SRC International Sdn Bhd yang saya ada. Saya membuat akuan ini dengan percaya bahawa akuan ini benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dan sesungguhnya diakui oleh
saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI
di Sungai Besi
di negeri Wilayah Persekutuan
pada 13 April 2017

Di hadapan saya

PESURUHJAYA SUMPAH

TAGS