Ali Tinju beri tempoh tujuh hari mahu DBKL selesaikan isu tapak niaga bekas tentera

Ali Tinju beri tempoh tujuh hari mahu DBKL selesaikan isu tapak niaga bekas tentera

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Mohd Ali Baharom mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelesaikan segera isu tapak perniagaan membabitkan 200 peniaga.

Difahamkan ahli persatuan telah berniaga di tapak berkenaan sejak 2012 sebelum pihak DBKL mengarahkan agar tapak itu dikongsi bersama persatuan penduduk dan orang awam pada 2015.

Tapak seluas lima ekar itu adalah kawasan Zon Tunda DBKL Bandar Tasik Selatan dan sebahagian daripada kawasan itu telah diteroka oleh ahli persatuan untuk tapak perniagaan sejak 2012.

Bagaimanapun bagi permohonan tapak bazar ramadan tahun ini oleh Persatuan Peniaga Bekas Tentera Kuala Lumpur dan Selangor itu, di lokasi sama telah ditolak empat kali oleh Jabatan Penjaja dan Perlesenan DBKL.

“Kami mohon atas kuasa Datuk Bandar untuk meluluskan segera permohonan tapak bazar ramadan itu. Kami adalah kumpulan pertama yang meneroka tanah di situ dan mendapat kelulusan lesen untuk berniaga oleh DBKL sebelum ini.

“Isunya adalah penolakan permohonan lesen kali ke empat persatuan untuk bulan ramadan bagi tahun ini.

“Kita juga pernah menghantar permohonan agar tapak itu dinaikkan taraf untuk memberi peluang kepada balu dan bekas tentera berniaga di kawasan tersebutselain tapak bazar ramadan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline di Ibu Pejabat Datuk Bandar di Jalan Raja Laut di sini.

Dakwanya lagi terdapat peniaga di kalangan persatuan penduduk dan orang awam yang sengaja menyewakan tapak perniagaan kepada warga asing untuk memperoleh keuntungan sewa tapak yang lebih tinggi.

Ujarnya lagi, pegawai-pegawai atasan DBKL menerima maklumat kurang tepat kerana tidak turun di lokasi untuk melihat sendiri kawasan dan siapa yang terbabit menjalankan perniagaan di situ.

“DBKL perlu pantau kawasan tersebut banyak pendatang asing, ada dikalangan ahli persatuan penduduk berniaga tapak kepada warga asing.

“DBKL bertangungjawab untuk menghapuskan kawasan itu daripada peniaga warga asing.” ujar beliau.

Dalam satu pertemuan yang diwakili Pegawai Khas kepada Datuk Bandar, Shaharuddin Hamid di Pejabat Datuk Bandar, satu perbincangan telahpun berlansung antara DBKL, PVATM dan Presiden Persatuan Peniaga Bekas  Anggota Tentera Kuala Lumpur dan Selangor Shanim Ismail  hari ini.

Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, hasil pertemuan lebih setengah jam itu mendapat kata putus dan memberi sedikit harapan kepada balu dan bekas tentera.

Hasil pertemuan mula agak tegang ujarnya, sebaliknya apabila pegawai dipertanggungjawabkan itu telah mengaku kesilapan dan bersetuju memberi jaminan dalam masa tujuh hari untuk mengeluarkan surat meluluskan permohonan kebenaran berniaga pada bulan ramadan kepada ahli bekas tentera.

“Jika pegawai berkenaan gagal menunaikan janjinya dalam tempoh tujuh hari saya akan bertemu sendiri dengan Datuk Bandar untuk menjelaskan hal yang sebenar dan akan lakukan bantahan,” ujarnya.

 

TAGS