Ali Tinju mahu KL diletak zon larangan berhimpun

Ali Tinju mahu KL diletak zon larangan berhimpun

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pihak berkuasa diminta  mengambil tindakan  terhadap dua kumpulan Baju Merah dan  kumpulan Baju Kuning yang akan bertembung dalam perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu ini dengan menjadikan  ‘Bandaraya Kuala Lumpur’ sebgai zon larangan berhimpun .

Presiden Pertubuhan Pembela dan Nasib Melayu Malaysia (Gerakan Merah) Mohamad Ali Baharom hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju petang ini.

Beliau berkata Gerakan Merah membuat laporan polis kerana berpandangan perhimpunan yang dianjurkan Bersih dan Adil Network Sdn Bhd itu telah ditolak dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa sewajarnya penganjur mematuhi arahan tersebut.

“Demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama daripada bertelingkah serta bergaduh serta mengelakkan berlakunya vandelism yang akan merosakkan harta benda awam sewajarnya kedua pihak baju merah dan kuning menghentikan pertembungan mereka,” ujarnya.

Ali yang juga dikenali sebagai Ali Tinju juga berkata perhimpunan yang akan diadakan itu juga turut menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga di lokasi yang dilalui oleh peserta yang berhimpun.

“Perhimpunan Bersih 1,2,3,4 lalu telah menjejaskan imej bandaraya Kuala Lumpur.

“Adalah disyorkan kepada pihak berkuasa pada hari berkenaan seharusnya ‘bandaraya Kuala Lumpur’ diletakkan di zon larangan berhimpun bagi kumpulan kuning dan kumpulan merah,” ujarnya.

Ali Tinju juga berkata ahlinya tidak akan menyertai kumpulan baju merah bagaimanapun beliau menegaskan mahu pihak polis mengambil tindakan tegas mana-mana individu dan organisasi yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan Bersih 5 ini.

Beliau hadir bersama peguamnya Mohd Yahya Zakaria dan  penyokongnya.

 

TAGS