Allahyarham Safinah tokoh muslimat gigih

Allahyarham Safinah tokoh muslimat gigih

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas Terengganu menyifatkan pemergian ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu, Safinah Jusoh sebagai kehilangan besar dalam perjuangan parti itu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, Pas kehilangan seorang tokoh muslimat yang sangat gigih dalam perjuangan parti dan telah banyak menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat.

“Dengan pemergian beliau yang pernah dilantik menjadi Senator daripada 23 Disember 1999 hingga 22 Disember 2002, Pas Terengganu kehilangan seorang tokoh muslimat yang sangat gigih dalam perjuangan parti.

“Sumbangan dan jasa beliau begitu besar, bukan hanya kepada Pas bahkan kepada seluruh rakyat negeri Terengganu dan Malaysia amnya, selaku ahli Dewan Negara yang sangat aktif, memberikan pandangan dan mengambil bahagian dalam setiap perbahasan,” katanya dalam ucapan takziahnya hari ini.

Allahyarham meninggal dunia jam 10.15 pagi tadi akibat barah payu dara pada usia 65 tahun.

Menurut Satiful yang juga Adun Paka, antara khidmat terakhir Safinah ialah membantu pasukan kempen Pas pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar Jun lalu, walaupun ketika itu beliau telah disahkan menghidap penyakit kanser dan berada dalam keadaan yang lemah.

“Saya dan seluruh saf kepimpinan Pas Terengganu serta ahli dan penyokong mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhumah.

“Semoga Allah SWT mengampunkan semua dosa Almarhumah dan memberi pahala yang setingginya kepada Almarhumah atas segala kerja jihad dan khidmat yang telah beliau berikan dalam Dewan Muslimat dan sepanjang memegang jawatan sebagai ketuanya,” katanya.

TAGS