Amalkan demokrasi sihat, benarkan pemimpin Pakatan Harapan masuk Sarawak

Amalkan demokrasi sihat, benarkan pemimpin Pakatan Harapan masuk Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Tindakan pentadbiran Tan Sri Adenan Satem menghalang kemasukan ahli-ahli politik khusus dari Pakatan Harapan amat mendukacitakan, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, tindakan menghalang Exco Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim merangkap Adun Batu Maung serta Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Pengarah Strategi PKR,Sim Tze Tzin pada Ahad,  memasuki Sarawak tanpa diberi penjelasan mengapa mereka tidak dibenarkan masuk adalah tidak demoratik.

“Dalam demokrasi yang sihat, pertandingan politik yang adil dan sama rata mewajibkan parti-parti politik dari pihak pemerintah dan pembangkang diberi peluang yang sama untuk bertemu pengundi dan menjalankan aktiviti politik yang sah mengikut undang-undang.

“Selagi tiada undang-undang yang dilanggar, kekangan dan halangan tidak patut dikenakan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Wan Azizah berkata, apa yang berlaku ini jelas menunjukkan parti-parti pembangkang diberi layanan yang cukup berbeza berbanding Umno-Barisan Nasional.

“Mengapa seorang Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen dihalang dari masuk walhal mereka tiada rekod jenayah atau terlibat dalam sebarang skandal, manakala seorang Presiden parti Umno yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kontroversi di dalam dan luar negeri diberi layanan yang cukup baik!

“Demi demokrasi dan pilihan raya yang bersih dan adil, saya gesa pentadbiran Tan Sri Adenan untuk menghentikan amalan menghalang ahli-ahli politik khusus dari Pakatan Harapan yang berniat melakukan kerja-kerja politik yang tidak salah dari sudut undang-undang dari memasuki negeri Sarawak.

“Saya harap Tan Sri Adenan seorang yang adil dan bersikap terbuka; sudah pasti beliau mahu menonjolkan sebuah pentadbiran yang lebih baik dan adil berbanding sebelum ini. Oleh itu, demi Sarawak, saya harap Tan Sri Adenan mampu membenarkan kami masuk untuk melakukan kerja-kerja politik yang dibenarkan undang-undang dan perlembagaan.

“Marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik buat masa depan rakyat Sarawak.” ujarnya Ketua Pembangkang Parlimen ini.

TAGS