Aman pilihan kami, ambil tindakan kepada provokator, kata koordinator Bersih

Aman pilihan kami, ambil tindakan kepada provokator, kata koordinator Bersih

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan kumpulan ‘Baju Merah’yang melintangkan lori di kawasan lampu isyarat mengejutkan peserta konvoi Bersih 5 Kulai = Keluang.

“Kami mendesak agar tindakan susulan dilakukan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia agar aksi sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan,” kata koordinator konvoi, Samudin Kambali dalam satu kenyataan.

Tidak cukup setakat itu katanya, mereka juga menghamburkan kata-kata kesat dan maki hamun selain turut mengetuk kenderaan peserta konvoi bersih.

“Kami mempersoalkan apakah kuasa yang mereka ada sehingga sewenang-wenangnya bertindak menghalang lalu lintas.

“Tindakan itu cukup mengejutkan kami yang baru sahaja selesai menunaikan solat Asar di masjid berdekatan,” katanya.

Menurutnya, keadaan ini tidak mematahkan semangat peserta dan mengubah laluan kami ke Kluang melalui Renggam dengan jayanya.

“Walaupun terkilan tindakan itu, kami tidak patah semangat dan akan tetap akan meneruskan konvoi ini sehingga ke kemuncak Himpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 19 November nanti kerana kami tegas yakin bahawa ini ialah himpunan yang patriotik dan demoktratik,” katanya.

Bagaimanapun bagi beliau konvoi Bersih 5 Kulai-Kluang etarikh 8 Oktober itu telah berlangsung dengan jayanya.

“Pujian dan ucapan tahniah kepada PDRM Johor di atas komitmen dan kawalan keselamatan yang cukup baik demi memastikan konvoi ini berlangsung aman.

“Berhubung ugutan dan provokasi pihak ‘Baju Merah, Pihak konvoi Bersih 5 Selatan sedia memberi kerjasama kepada pihak Polis DiRaja Malaysia dan mengubah laluan agar objektif konvoi ini berlangsung aman tercapai,” katanya.

Adalah menjadi kewajipan katanya, bagi peserta Konvoi untuk mematuhi undang-undang yang termaktub dalam sebuah negara demokrasi berparlimen.

“Kami memilih jalur aman dalam menyampaikan tuntutan kami,” katanya.

Namun menurutnya, pihak konvoi kecewa dengan tindakan provokasi yang dilakukan oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ‘Baju Merah’ yang menyebabkan wujudnya situasi tidak aman.

“Kami mendesak agar tindakan susulan dilakukan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia agar aksi sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan.

“Insiden ini bukan kali pertama.

“Insiden di Teluk Intan dan Sabak Bernam memberi isyarat, tindakan tegas perlu diambil.

“Hak berhimpun dilindungi oleh perlembagaan. Tetapi samseng dan gangsterisme merupakan kesalahan dibawah undang-undang dan membahayakan rakyat,” katanya.

TAGS