Amanah akan hantar surat tuntut Hadi perjelaskan Seksyen 2 Akta 355

Amanah akan hantar surat tuntut Hadi perjelaskan Seksyen 2 Akta 355

Parti Amanah Negara (Amanah) mengulangi gesaan agar ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan berhubung seksyen 2 Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) atau Akta 355.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) mengulangi gesaan agar ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan berhubung seksyen 2 Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) atau Akta 355.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, Hadi tidak menjelaskan bagaimana Mahkamah Syariah diperkasakan melalui akta tersebut.

Seksyen 2 Akta 355 selepas dipinda akan mempunyai kuasa ke atas seseorang pengganut Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang Persekutuan;

2(a) Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati.

“Apa yang diperkasakan? Kenapa diganti seluruh seksyen 2 dengan yang baharu?

“Apa kesan pindaan ini kepada Mahkamah Syariah?” soalnya dalam sidang media di Wisma Amanah di ibu negara hari ini.

Gesaan yang sama diulangi Biro Undang-undang (Kanun) kerana didakwa bukan sahaja tidak jelas dan mengelirukan, malah langsung tidak memberikan sebarang indikator di sudut mana Mahkamah Syariah boleh diperkasakan melalui RUU tersebut.

Wan Anwar Wan IbrahimTimbalan Pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, cadangan meningkatkan hukuman yang jelas menimbulkan ketakutan dan salah faham dalam kalangan rakyat.

“Lebih mengecewakan lagi apabila diminta oleh Amanah untuk menjelaskan maksud “memperkasakan Mahkamah Syariah” melalui RUU tersebut pada 6 September 2016, Ahli Parlimen Marang masih membisu dan terus membiarkan rakyat terus berada dalam kekeliruan,” katanya.

Beliau juga berkata, kegagalan tersebut adalah disebabkan RUU itu diusulkan tanpa berunding terlebih dahulu dengan pihak-pihak yang berkepentingan (“stakeholder”) seperti JKSM, negeri-negeri, peguam-peguam sehinggalah kepada rakyat sendiri melalui wakil-wakil mereka yang dipilih sama ada di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

“Kanun melihat bahawa rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan tersebut adalah amat penting sebelum mana-mana ahli legislatif ingin mengusulkan satu rang undang-undang yang melibatkan Mahkamah Syariah kerana merekalah komponen-komponen penting yang terlibat secara langsung dalam sistem keadilan Syariah di Malaysia.

Sementara itu, Kanun turut mempersoal apakah dan di mana peranan peguam-peguam Pas yang diwakili oleh Hadi dalam dewan semasa proses usul RUU tersebut dibuat dan di saat penjelasan tentang bagaimana usul RUU tersebut boleh memperkasakan Mahkamah Syariah dituntut.

“Kanun juga percaya bahawa selain daripada keperluan kepada peningkatan hukuman yang lebih jelas dan pasti (“definite”), aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah yang lebih mendesak kini adalah melibatkan isu perjawatan, kapasiti, infrastruktur, tatacara siasatan, pendakwaan dan penguatkuasaan hukuman atau perintah yang memberikan kesan yang lebih besar kepada perjalanan sistem keadilan Syariah negara,” katanya.

Justeru Kanun akan menghantar surat menuntut Hadi menjawab persoalan berbangkit.

“Kita akan serah surat kepada Pas dan YB Marang. Kita beri tempoh kepada beliau memberi penjelasan sehingga akhir bulan ini,” kata Khalid.

Turut bersama dalam sidang media ialah Ketua Angkatan Wanita (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud yang juga Ahli Parlimen Kota Raja dan peguam Marwan Johar yang juga Ketua Amanah Serdang.

 Kanun melihat bahawa rundingan dengan pihak berkepentingan amat penting sebelum mana-mana ahli legislatif ingin mengusulkan satu rang undang-undang yang melibatkan Mahkamah Syariah.-Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.

TAGS