Amanah anjur seminar pemikiran Nik Aziz

Amanah anjur seminar pemikiran Nik Aziz

Parti Amanah Negara (Amanah) akan menganjurkan Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 19 April depan sebagai ikrar parti itu untuk meneruskan kecemerlangan beliau dalam pemerintahan.

Parti Amanah Negara (Amanah) akan menganjurkan Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 19 April depan sebagai ikrar parti itu untuk meneruskan kecemerlangan beliau dalam pemerintahan.

Menurut Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir, seminar tersebut bukan sekadar mengenang Allahyarham Nik Aziz namun lebih kepada membincangkan keberkesanan beliau memerintah kelantan lebih dua dekad selain sebagai pemimpin Pas yang disegani dan dihormati kawan dan lawan.

Ini katanya sangat penting agar Amanah dapat meneruskan apa yang telah dimulakan dan dilaksanakan beliau bagi menjadikan parti itu sebuah parti Islam yang berjaya.

“Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bukan sahaja ulama terulung, tetapi juga seorang pentadbir yang cemerlang.

“Kejayaan beliau mentadbir Kelantan dengan slogan Membangun Bersama Islam lebih dua dekad, tentunya satu kejayaan yang amat dikagumi.

“Bukanlah mudah kerana terpaksa berhadapan dengan tekanan segenap sudut terutama oleh kerajaan Persekutuan sendiri.

“Keterampilan beliau yang serba sederhana, mesra rakyat sentiasa berada di tengah-tengah rakyat, merasai denyut jantung rakyat, menyebabkan beliau amat dihormati kawan dan disegani pihak lawan.” katanya dalam sidang media di Wisma Amanah Negara hari ini.

Seminar yang akan berlangsung di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan Amanah kawasan Batu sebagai penganjur bersama itu akan menampilkan bekas Exco Kanan Kelantan ketika pentadbiran Nik Aziz, Datuk Husam Musa.

Beliau akan menyampaikan ucaptama manakala Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai perasmi.

Antara pembentang kertas kerja termasuk Penasihat Umum Amanah Ustaz Ahmad Awang; Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Liew Chin Tong; dan Penyelidik di Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI) Wan Ji Wan Husin.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, kesungguhan Nik Aziz mentadbir khazanah negeri terutamanya mendidik pegawai-pegawai negeri berjimat cermata, mencegah pemborosan merupakan kejayaan yang patut diteladani.

“Parti Amanah mahu jadi sebuah parti yang sederhana, wakil-wakil rakyat hidup sederhana, tidak berboros malah mengutamakan agenda membantu rakyat,” katanya lagi.

Memberi contoh negeri Terengganu, beliau berkata walaupun negeri itu pernah ditadbir oleh Pas tetapi hanya dapat bertahan sepenggal sahaja.

“Bukankah perbandingan ini dapat kita simpulkan bahawa pendekatan yang dilaksanakan oleh tokoh terulung ini adalah satu pendekatan yang mesra rakyat, mendidik, lemah lembut dan berjaya martabatkan Islam di tempat yang sewajarnya berbanding pendekatan keras yang menghukum, yang jelasnya menakutkan rakyat pada Islam, yang berakahir dengan kegagalan,” katanya lagi.

Justeru Anuar mengajak pemimpin-pemimpin Amanah di peringkat nasional, negeri dan kawasan untuk meluangkan masa menghadiri seminar ini.

“Seminar ini terbuka kepada semua, ahli Amanah dan bukan ahli Amanah, Islam dan bukan Islam dan saya harap di sebalik kesibukan wakil rakyat dan pimpinan Amanah, mereka dapat meluankan masa hadir ke seminar ini kerana ada sesuatu yang berharga perlu dikutip,” katanya.

TAGS