Amanah berpotensi menang di Baling

Amanah berpotensi menang di Baling

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) berpotensi untuk memenangi kerusi Parlimen Baling dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

Keyakinan ini adalah berdasarkan kepada dokongan yang amat menggalakkan jika dibandingkan dengan kawasan yang lain.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda Amanah, Asmirul Anuar Aris.

Jelasnya lagi, Baling merupakan daerah yang kedua mempunyai ramai penyokong Amanah selepas Parlimen Kubang Pasu.

“Amanah mempunyai keyakinan yang besar untuk menang di Baling selepas melihat sokongan yang amat memberangsangkan.

“Pada peringkat awal kita tidak dapat membuat penilaian serta justifikasi.

“Namun begitu, lama kelamaan sokongan yang diterima amat mengejutkan apabila ia turut menerima keahlian dari keluarga para guru dan ulama, ” tegasnya lagi.

Asmirul juga berkata, walau bagaimana pun pertembungan tiga penjuru harus dielakkan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Sekiranya kita serius untuk mengalahkan Umno dan BN, maka pertandingan tiga penjuru mesti dielakkan sama sekali.

“Amanah akan mengambil pendekatan serius bagi mengelakkan pertembungan ini terjadi.

“Perbincangan bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, Pas dan juga Bersatu akan diadakan bagi merealisasikan impian kemenangan tersebut, ” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, Umno harus ditentang dengan cara satu lawan satu sekiranya bersungguh-sungguh untuk mendapat kemenangan.

“Kita juga amat mengharapkan Pas dapat menerima cadangan mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Selain Baling, Amanah juga mampu mendapat sokongan yang besar daripada pengundi di Parlimen Kubang Pasu.

“Bagi merealisasikan kemenangan ini, kita mesti pastikan pembangkang dapat bersatu secara serius dalam sebuah pakatan bagi mengalahkan Umno dan BN tidak lama lagi, ” ujarnya.

TAGS