Amanah bukan memperjuangkan Islam, kata at-Takiri

Amanah bukan memperjuangkan Islam, kata at-Takiri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri menyifatkan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak memperjuangkan Islam, hanya memperjuangkan maslahah DAP sahaja.

Antarapos melaporkan Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas itu berkata tindakan Datuk Husam Musa yang mendakwa Tok Guru Nik Aziz akan mengikutinya menyertai Amanah jika masih hidup tidak selari dengan apa yang dididik oleh arwah.

“Jangan mengaku dia seorang sahaja anak murid (Nik Aziz) ramai lagi, ada ratusan ribu anak murid Nik Aziz yang istiqamah dengan PAS., ajaran yang diamalkan oleh Allahyarham Nik Aziz, adalah menyeru ahlinya supaya istiqamah dan taat kepada parti,” katanya.

Menurutnya, tindakan Husam yang mempergunakan nama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bagi menarik ahli PAS menyertai Amanah ternyata tidak selari dengan didikan yang diberikan oleh bekas Menteri Besar Kelantan itu kepadanya.

“Kalau dia (Datuk Husam) ikut jejak langkah (Datuk Seri) Nik Aziz, beliau seorang yang konsisten dengan sistem syura dalam jemaah dan komited dengan sistem ketua mesti diikuti dan ditaati, serta menjaga keharmonian berjemaah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Husam bahawa lebih ramai penyokong Pas akan menyertai Amanah sekiranya Nik Aziz masih hidup.

Katanya lagi, semua pihak bijak membuat penilaian terhadap perjuangan Husam dalam Amanah yang dakwanya hanya menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada DAP.

“Saya rasa masyarakat boleh menilai Amanah tidak memperjuangkan Islam, (hanya) memperjuangkan maslahah (manfaat) DAP sahaja,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Khairuddin turut meramalkan Husam akan berdepan kesukaran bagi mengadaptasikan perjuangan Amanah disebabkan pertembungan pemikiran dikalangan pemimpin parti itu kelak.

“Saya rasa Amanah, mereka (pemimpin) ada pelbagai pemikiran. Mereka akan berhadapan dengan masalah pertembungan pemikiran antara satu sama lain, tidak mudahlah bagi Datuk Husam,” ujarnya.

Husam bertindak menyertai Amanah pada Selasa lalu apabila dipecat oleh PAS pada Mei lalu.

Selepas menyertai Amanah, Husam cuba meraih sokongan ahli-ahli PAS dengan menggunakan modal kononnya perjuangan Amanah menyerupai kehendak perjuangan Islam yang diamalkan ulama itu.

Bekas exco Kelantan itu juga melahirkan keyakinannya bahawa Amanah mampu menyelamatkan Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

TAGS