Amanah cadang NGO pantau prestasi Ahli Parlimen

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan badan bukan kerajaan (NGO) menjadi pemerhati kepada prestasi ahli parlimen khususnya daripada Amanah sendiri.

Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub berkata, NGO-NGO yang bersedia menjadi pemerhati boleh mengeluarkan laporan pada setiap akhir sesi persidangan Dewan Rakyat.

Laporan ini katanya penting untuk dibentangkan kepada rakyat sebagai kayu ukur prestasi seseorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat sendiri.

“Saya bersetuju jika ada beberapa NGO yang bersedia menjadi satu badan pemerhati yang khusus dan tampil menawarkan diri untuk memberikan komentar yang ikhlas mereka terhadap pencapaian ahli Parlimen.

“Sekiranya ada wakil rakyat Amanah yang tidak menjalankan tugas ataupun cuai dalam menjalankan tugas kita bersedia untuk menerima teguran,” kata beliau pada sidang media di Wisma Amanah, dekat sini hari ini.

Salahuddin juga berkata-kata parti-parti politik perlu lebih bertanggungjawab dalam meletakkan calon mewakili parti ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya mereka benar-benar boleh membawa suara rakyat.

“Ini adalah baik sebagai peringatan kepada parti politik dan pada masa akan datang juga saya minta parti politik lebih bertanggungjawab untuk memilih wakil-wakil yang mereka akan hantar ke parlimen atau Dun yang akan mewakili suara rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir menyatakan kekesalan terhadap kegagalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan isu ‘derma’ RM2.6 bilion di Parlimen.

“Amanah kesal terhadap pihak pemerintah khususnya Najib dalam menangani isu RM2.6 bilion yang menjadi isu yang tidak terjawab secara tuntas dan sempurna.

“Permainan politik menjadikan isu ini berlegar-legar dan seolah-olah rakyat semua dinafikan hak untuk mendapat tahu hakikat yang sebenar.

Amanah katanya akan meneruskan usaha mendesak Najib menjelaskan isu berkenaan yang sehingga kini menimbulkan tanda tanya.

“Kami akan meneruskan usaha menuntut perdana menteri menyatakan kebenaran walapun hal itu sukar dan kita kena kerja kuat,” katanya.

TAGS