Amanah desak SPRM buka semula siasatan penyelewengan dana 1MDB

Amanah desak SPRM buka semula siasatan penyelewengan dana 1MDB

Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata, dengan wujudnya keterangan-keterangan yang belum disiasat sepenuhnya, termasuklah pendedahan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dan Pejabat Peguam Negara Switzerland serta penangkapan Khadem Al-Qubaisyi oleh pihak berkuasa Abu Dhabi baru-baru ini, adalah wajar SPRM memulakan semula siasatan penyelewengan yang berlaku.

“SPRM juga perlu mendapatkan kerangan dan dokumen daripada semua saksi-saksi penting dan suspek yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan ini termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk melengkapkan siasatan dengan sempurna.

“Kegagalan SPRM untuk membuka semula siasatan akan menguatkan lagi dakwaan bahawa badan ini sudah hilang integriti dan tidak lagi bebas.

“Dan sekiranya ini benar, ianya merupakan bencana yang cukup besar untuk masa depan Malaysia,” ujarnya.

Beliau hadir di ibupejabat SPRM di Putrajaya hari ini bersama Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir dan Ketua Wanita Amanah Nasional (Awan) Dr Mariah Mahmud untuk menyampaikan memorandum mendesak SPRM membuka semula kertas siasatan.

Salahuddin yang juga bekas anggota Jawatankuasa Khas SPRM, berkata, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi sumbangan ke arah memperkukuhkan lagi kewibawaan SPRM.

“Di antara perjuangan besar yang masih belum selesai ialah memberikan semula kuasa pendakwaan SPRM untuk mendakwa terutama kes-kes yang berprofil tinggi,” ujarnya.

Amanah melihat isu dakwaan penyelewengan berkaitan 1MDB masih tergantung tanpa jawapan dan belum dapat diselesaikan oleh penguat kuasa undang-undang negara.

Penyiasatan kes tersebut yang turut melibatkan SPRM sebelum ini kelihatan tidak lengkap di mana masih ramai saksi-saksi yang didakwa terlibat dalam transaksi yang berkaitan 1MDB sama ada di dalam mahupun di luar negara belum disiasat kesemuanya.

“Cara penyiasatan ditutup dan rumusan penyiasatan dibuat (menyatakan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Datuk Seri Najib adalah dana sumbangan penderma dan bukannya dari 1MDB) gagal memberi keyakinan kepada rakyat malah menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Oleh kerana skandal 1MDB sudah menjadi perhatian dunia, Malaysia perlu membuktikan bahawa negara ini mempunyai sistem keadilan yang cekap, berintegriti dan mampu untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut dan gentar serta bebas dari campur tangan pihak berkepentingan,” ujarnya.

Salahuddin juga berkata, sekiranya rakyat memberikan mandat baru kepada Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU14, Amanah ujarnya, akan memastikan struktur urus tadbir SPRM akan diletakkan di bawah Parlimen Malaysia.

“Ini bertujuan bagi mengangkat integriti dan memastikan peranannya benar-benar bebas dari campur tangan pihak eksekutif,” ujarnya.

TAGS