Amanah gesa Raus tolak lanjut khidmat ketua hakim

Amanah gesa Raus tolak lanjut khidmat ketua hakim

Parti Amanah Negara (Amanah) mempertikai lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan lantikannya sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.

Ahli jawatankuasa Amanah Nasional Mohamed Hanipa Maidin menjelaskan, Perkara 122 (1A) tidak membenarkan seorang bekas ketua hakim menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan pelantikan hakim tambahan yang akan berkuat kuasa selepas beliau bersara.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Jumaat lalu, pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan setelah masing-masing mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan adalah atas sembah cadangan dan nasihat Ketua Hakim Negara pada ketika itu, Tun Arifin Zakaria, kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2017 sebelum Yang Amat Arif bersara.

“Kenyataan ini silap dari segi undang-undang. Kita lihat kepada Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa memang Yang di-Pertuan Agong boleh melantik hakim tambahan selepas mendapat nasihat daripada ketua hakim negara.

“Tapi yang saya hairan kenapa dia kata pelantikan setelah mendapat sembah daripada Tun Arifin. Tun Arifin dah bersara. Apabila dah bersara dia bukan ketua hakim negara lagi.

“Tiba-tiba kerajaan kata pelantikan Tan Sri Md Raus sebagai hakim tambahan atas nasihat ketua hakim. Tun Arifin bukan ketua hakim lagi,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara di ibu negara hari ini.

Beliau menegaskan, Amanah tidak mempertikai keputusan kerajaan mengekalkan Raus dan Zulkefli yang dibuat mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

“Lantikan sebelum dia jadi hakim tambahan itu memang Tun Ariffin boleh nasihat. Yang itu Amanah tak pertikai. Itu tak ada masalah.

“Sekarang ini hakim tambahan, perdana menteri tidak terlibat dalam pelantikan hakim tambahan. Yang terlibat hanya Agong dan ketua hakim negara. Maknanya Agong lantik, ketua hakim nasihatkan. Boleh lantik hakim yang lebih 66 tahun asalakan dia pernah jadi hakim,” katanya yang juga Pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) Amanah.

Pada 1 April lepas, Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-14 bagi menggantikan Arifin yang bersara di usia 66 tahun dan 6 bulan pada 31 Mac lepas manakala Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan bagi menggantikan Md Raus.

Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun.

Sebelum ini, perkhidmatan Arifin sebagai Ketua Hakim Negara, Md Raus sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Zulkefli sebagai Hakim Besar Malaya dilanjutkan selama enam bulan.

Perkhidmatan Md Raus dalam badan kehakiman dilanjutkan dari 4 Februari ke 3 Ogos ini manakala perkhidmatan Zulkefli dilanjutkan dari 28 Mac hingga 27 September ini.

TAGS