Amanah Johor desak aspek penguatkuasaan undang-undang diperketat

Amanah Johor desak aspek penguatkuasaan undang-undang diperketat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Aminolhuda HassanParti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor mendesak aspek penguatkuasaan undang-undang terhadap pengusaha bas ekspres dilaksanakan sebaik mungkin oleh semua pihak terlibat agar kejadian kemalangan maut babitkan pemandu dan penumpang tidak akan berlaku pada masa akan datang.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata Amanah menyatakan kesedihan yang amat mendalam dan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan bas yang terjunam di lebuhraya Pagoh awal pagi semalam dan telah mengorbankan 14 orang mangsa.

“Parti Amanah Negara Negeri Johor melahirkan kekesalan terhadap semua pihak yang bertanggungjawab berkaitan perjalanan bas ekspres malam yang tidak diselia dengan baik dan cermat terutamanya ke atas kenderaan yang sepatutnya dalam keadaan baik dan sempurna, juga pemandu yang sepatutnya dalam keadaan cukup rehat, cekap dan bersedia.

“Amat memalukan negara apabila pemeriksaan oleh pihak berkuasa hanya dijalankan secara teliti dan besar-besaran setelah berlaku kemalangan yang meragut nyawa ramai mangsa.

“Pengguna jalanraya dan orang ramai sepatutnya mendapat jaminan keselamatan yang tinggi dalam perjalanan untuk bertemu keluarga atau sahabat handai sempena cuti umum yang panjang di hujung tahun ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Parit Yaani turut mempersoal perancangan dan penguatkuasaan pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan perjalanan bas ekspres ini mengikut peraturan yang ditetapkan.

” Waktu bermula perjalanan tidak boleh melebihi jam 10 malam.

“Tempoh pemanduan dan kekerapan pemeriksaan kenderaan yang dilakukan adalah diragui apabila kemalangan seumpama ini sering berlaku

“Keadaan kenderaan yang sempurna dari semua sudut terutama berkaitan aspek keselamatan.

“Keadaan kesihatan dan kerehatan pemandu bas dan pemandu kedua amat penting untuk memastikan keselesaan, kebajikan dan keselamatan pengguna serta orang ramai terjamin,” ujarnya agar kejadian sama tidak berulang.

Dalam satu kejadian pada Sabtu lalu, seramai 14 orang maut sementara 16 lagi cedera dalam nahas bas ekspres yang terjunam ke dalam cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan di Muar.

Mangsa yang terkorban itu melibatkan tujuh wanita, enam lelaki termasuk pemandu bas serta seorang kanak-kanak perempuan.

Bas yang membawa 30 penumpang dari Johor Bahru ke utara tanah air itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam cerun sedalam 20 kaki.

TAGS