Amanah Kelantan desak MB campur tangan bebaskan tahanan Orang Asli

Amanah Kelantan desak MB campur tangan bebaskan tahanan Orang Asli

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Che Ibrahim MohamedParti Amanah Negara Negeri Kelantan mendesak Menteri Besar, Datuk Ahmad  Yakob campur tangan segera dengan mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan membebaskan serta merta semua Orang Asli yang ditahan dan kembali ke meja rundingan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Kelantan, Che Ibrahim bin Mohamed berkata jika kerajaan negeri Kelantan meneruskan hasrat untuk mendakwa semua Orang Asli yang ditahan, Parti Amanah Negara (Amanah) akan memberi bantuan guaman dan melantik peguam secara percuma untuk membela mereka di mahkamah.

” Amanah Kelantan amat kesal di atas tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menahan 47 Orang Asli kerana didakwa telah menduduki dan melakukan aktiviti di dalam kawasan hutan simpan kekal tanpa permit penggunaan.

“Mereka telah mendiami kawasan tersebut semenjak datuk nenek moyang mungkin beratus tahun dahulu lagi. Akta Orang Asli 1954 juga mengiktiraf pendudukan dan aktiviti mereka dalam kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, apabila kehidupan Orang Asli diganggu dengan merosakkan hutan di sekitar mereka, sungai yang menjadi sumber air mereka telah cetek dan kotor, hutan belantara yang merupakan sumber rezeki dan pusat kegiatan utama mereka telah dimusnahkan.

“Budaya dan habitat mereka diganggu, mereka yang lazimnya menggunakan laluan hutan untuk bergerak, kini terpaksa berjalan kaki berjam-jam di tengah terik panas matahari untuk sampai ke rumah mereka, maka bukanlah mustahil mereka terpaksa bangkit untuk menentang pencerobohan yang didakwa telah berlaku dalam wilayah adat mereka,” katanya.

Che Ibrahim turut menafikan fitnah yang tersebar mendakwa Amanah terlibat menjadi dalang dalam insiden blockade oleh Orang Asli di beberapa tempat di Gua Musang.

“Dakwaan yang cuba mengaitkan Amanah menghasut Orang Asli untuk bangkit menentang kerajaan Kelantan adalah satu fitnah dan tidak berasas.

“Ianya tidak lebih sekadar untuk menutup kegagalan dan kelemahan kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan dan kebajikan Orang Asli,” katanya.

Difahamkan selain daripada blockade di Simpang Petei yang telah dirobohkan pada 29/11/2016, ada dua lagi blockade yang telah dibina oleh Orang Asli iaitu di Pos Bihai dan di Sungai Kelewong, Pos Pasik bagi tujuan yang sama.

Sejumlah 47 tahanan Orang Asli akan tamat tempoh reman tengahari ini dan dijangka didakwa di mahkamah atau pihak berkuasa mengambil tindakan lain.

TAGS