Amanah komited bela masyarakat Felda & pekebun kecil

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Biro Tanah dan Luar Bandar Parti Amanah Negara (Amanah) sedang menyiapkan pelan strategik bagi membela masyarakat pekebun kecil, peneroka Felda, peneroka bandar, Orang Asal dan penduduk di Sabah Sarawak.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pelan berkenaan akan diumumkan akhir bulan ini dengan mengambil kira pelbagai pandangan dan indikator semasa terutama harga komoditi yang tidak menentu.

Menurutnya, harga getah beku pada masa ini berlegar pada kadar RM2.20 sekilogram sekaligus menjejaskan sosio-ekonomi 300,000 pekebun kecil getah di seluruh negara manakala pekebun sawit dan peneroka Felda sudah lama mengeluh ekoran harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang juga tidak stabil.

“Harga getah beku sebelum akhir tahun 2011 sekitar RM7 sekilogram. Mekanisme baharu yang diumumkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi meningkatkan harga getah sedang dinantikan.

“Hutang/kos tanam semula yang mencecah RM100,000, projek perumahan Generasi Baharu Felda yang terbengkalai di sana-sini dan isu Kadar Perahan Gred (KPG) menambah sengsara peneroka,” ujarnya dalam kenyataan beliau hari ini.

Mengulas situasi kejatuhan saham FGV, Mazlan menyifatkan sukar untuk berbincang dengan ‘kerajaan bebal’ memandangkan risiko penyenaraian FGV telah diperkatakan banyak pakar ekonomi tetapi tidak diendahkan.

“Saham FGV menutup tirai 2015 pada harga RM1.71, gambaran buruk dijangka berterusan untuk tahun 2016. Alasan suasana ekonomi global sekali lagi digunakan oleh pengurusan FGV dan kerajaan.

“Konvensyen, forum, himpunan Oren, serahan memorandum hingga ke Istana Negara dan bersiri tindakan mahkamah dilakukan. Semua cadangan dan pandangan disanggah. Mengapa tidak  mahu mengakui kesilapan dan kegagalan sendiri?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi begitu lemah bahkan cubaan pihaknya untuk mengadakan pertemuan dengan menteri terbabit, Datuk Douglas Uggah Embas masih gagal sehingga hari ini.

“Barangkali buat demonstrasi besar-besaran depan pejabat menteri di Putrajaya dan dilonggokkan Buah Tandan Segar Sawit (BTS) serta getah beku baru faham bahasa! Hakikatnya, hidup rakyat yang begitu tertekan pada 2015, dijangka  berlanjutan parahnya tahun 2016.

“Keluhan ibubapa menyediakan kelengkapan persekolahan dan bayaran yuran bagi sesi baru persekolahan bermula 3 dan 4 Januari 2016 ini sudah bertukar kepada amarah yang tidak dapat ditahan lagi. Ada menteri  macam tiada otak bila bercakap. Rakyat bekerja siang malam, ikat perut demi berjimat. Apa lagi yang Ahmad Maslan mau?” bidasnya lagi.

Sehubungan itu, Mazlan menyeru supaya rakyat tanpa kompromi bersatu untuk menentang BN kerana konsep amar maaruf nahi mungkar dan istiqomah menentang kezaliman BN menjadi perjuangan semua pihak.

TAGS