Amanah lancar Tabung Peduli Aleppo hari ini

Amanah lancar Tabung Peduli Aleppo hari ini

Amanah menyasarkan kutipan dana Tabung Peduli Aleppo sebanyak RM100,000 dikalangan ahli dan penyokong parti itu bagi membantu krisis kemanusiaan di Aleppo, Syria.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah menyasarkan kutipan dana Tabung Peduli Aleppo sebanyak RM100,000 daripada orang ramai khususnya ahli dan penyokong parti itu bagi membantu krisis kemanusiaan di Aleppo, Syria.

Setiausaha Agungnya Mohd Anuar Tahir berkata, parti itu menubuhkan Tabung Peduli Aleppo untuk menyatakan keperihatinan terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku di Aleppo.

“Tujuan untuk menyatakan keperihatinan Amanah kepada keadaan kemanusiaan yang memerlukan seluruh warga dunia memberikan bantuan di tempat-tempat yang mana apabila manusia sudah hilang sifat kemanusiaannya.

“Terkini di Aleppo memerlukan perhatian kita,  yang telah mengorbankan banyak nyawa dan memusnahkan tempat tinggal dan infrastruktur.

“Atas alasan itu Amanah merasa terpanggil untuk menyalurkan bantuan. Kita tidak lelap tidur fikirkan keadaan ini. Banyak pihak sudah mulai mencari dana dan menghantar sukarelawan ke Aleppo.

“Kami juga memikirkan perlu ada usaha memberikan sedikit sumbangan kepada krisis kemanusiaan ini,” ujarnya dalam sidang media diadakan pagi ini di Wisma Amanah, Kuala Lumpur.

Pada sidang media yang sama, Ketua Wanita Amanah Negara (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud berkata, dengan wujudnya Tabung Peduli Aleppo semua ahli dan penyokong dapat turut serta membantu krisis kemanusiaan yang berlaku di Aleppo.

“Saya dengan rendah hatinya mengumumkan penubuhan Tabung Peduli Aleppo dan untuk mendapat sebanyak mungkin dana supaya kita  dapat membantu krisis kemanusiaan yang berlaku di Aleppo,” ujarnya.

Beliau yang dilantik sebagai pengarah tabung kemanusiaan itu memberitahu, buat permulaan kutipan dana dilakukan dalam tempoh dua minggu bermula hari ini.

“Mulai hari ini kutipan dimulakan dan kita akan membentuk jawatankuasa bertindak untuk meluaskan kutipan dana ini ke seluruh negara dalam tempoh dua minggu ini.

“Sasaran kita  kutipan dana sekitar RM100,000 dengan sumbangan minima RM10 seorang.

“Walaupun kita menyedari  terdapat banyak tabung diwujudkan bagi mengumpul dana membantu krisis kemanusiaan di Aleppo, kita dengan sasaran kita akan turut membantu menambah dana yang telah dikumpulkan oleh NGO-NGO lain,” ujarnya.

Dr Mariah menjelaskan dana yang berjaya dikumpulkan kelak akan diserahkan kepada NGO yang akan dikenal pasti selama ini berurusan dengan kerja bantuan kemanusiaan di Syria.

Sumbangan minima RM10 boleh dimasukkan ke akaun WHB Management 5648 9211 9933 (Maybank) mulai hari ini.

TAGS