Amanah mahu rundingan dengan Pas ditentukan batas waktu

Amanah mahu rundingan dengan Pas ditentukan batas waktu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Parti Amanah Negara (Amanah) mengalu-galukan hasrat Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PBPM) Tun Mahathir Mohamad untuk terus memujuk Pas supaya bergabung tenaga bersama parti-parti politik pembangkang bagi menentang BN  dalam pilihan raya umum akan datang, namun menggesa ia dilaksanakan menurut batas waktu tertentu.

“Amanah juga ingin mempertegaskan walaupun pintu rundingan sentiasa terbuka luas namum batas waktu perundingan mesti ditentukan supaya segala keputusan dan penentuan hala tuju kita dapat dimuktamadkan dengan segera,” kata Naib Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, waktu masih ada untuk buktikan kepada rakyat negara ini bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memujuk Pas.

“Ini sangat penting supaya biar rakyat faham dengan jelas dikemudian hari nanti parti manakah yang sebenarnya merosakan segala impian dan harapan untuk menolak Barisan Nasional,” katanya.

Kekuatan sedia ada katanya, iaitu Pakatan Harapan dan Bersatu yang telah dibina dan mula mendapat keyakinan rakyat mestilah diperkukuhkan lagi sebagai asas untuk membina permuafakatan politik yang lebih besar.

“Saya sangat yakin dan percaya bahawa rakyat telah terdidik dan mempunyai maklumat yang cukup untuk memberikan sokongan kepada parti-parti politik yang telah jelas menzahirkan pendirian mereka untuk menentang kezaliman Barisan Nasional .

“Rakyat akan menolak parti yang bersengkokol dengan kezaliman Barisan Nasional walaupun berhempas pulas menyatakan mereka tidak bersama Barisan Nasional,” katanya.

TAGS