AMANAH menunjangi politik muafakat jujur, berprinsip

AMANAH menunjangi politik muafakat jujur, berprinsip

Parti Amanah ditubuhkan dengan matlamat dan dasar yang jelas. Parti ini meletakkan Islam sebagai asas perjuangan. Dalam kata lain, perjuangan parti ini tidak akan sekali-kali bertentangan dengan prinsip dan matlamat yang selaras dengan ajaran Islam.

Matlamatnya ialah bagi menegakkan sebuah negara yang menjadi rahmat untuk semua berdasarkan maqasid syariah. Penubuhan parti Amanah adalah satu keperluan baru bagi merealisasikan hasrat mewujudkan sebuah wadah politik yang mampu menawarkan pendekatan politik Islam yang berwajah progresif, inklusif, sederhana, dan demokratik.

Feqah siasah kami ialah berpegang kepada fiqh at-ta’ayush (co-existence) bukan fiqh konflik atau permusuhan.Bila kami sebut inklusif, kami benar-benar mahu menghayatinya. Kami membuka pintu perbincangan dan rundingan dengan semua pihak, tetapi kami juga punya pendirian politik yang jelas dan difahami oleh rakyat. Kami tidak ada masalah untuk mana-mana pihak berunding dengan mana-mana entiti politik yang lain, tetapi kami menuntut pendirian dan sikap polik yang jelas supaya kita boleh bersikap jujur dengan rakyat.

Apa yang kami sanggah ialah sikap bermuka-muka dan makan keliling. Apa yang kami kecam ialah sikap dwi-standard. Apa yang kami tolak ialah perdirian politik yang berputar-putar dan sering berubah. Apa yang kami tuntut ialah KEJUJURAN.

Apabila kami menandatangani perjanjian di dalam Pakatan Harapan, ada dokumen perjanjian yang dirujuk. Amanah berpegang teguh dengan kandungan perjanjian serta roh perjanjian itu. Kandungan perjanjian kerjasama kami dengan DAP adalah sama dengan kandungan perjanjian kami dengan parti Keadilan. Jadi tidak timbul soal Amanah menjadi khadam kepada mana-mana parti politik kerana kandungan perjanjian itu boleh dirujuk oleh mana-mana orang awam.

Our deal is clear and transparent.

Begitu juga dengan perjanjian kerjasama kami dengan PPBM. Semua kandungannya dalam bentuk bertulis yang boleh dijadikan rujukan oleh semua.

Apa yang penting, negara ini mesti dibina semula dengan semangat muafakat, kerjasama, dan saling mempercayai. Negara ini tidak boleh menjadi negara yang kuat kalau ia masih terus berdiri di atas prasangka sentimen perkauman dan agama.

CATEGORIES
TAGS