Amanah Perak alu-alukan PPBM untuk satu lawan satu

Amanah Perak alu-alukan PPBM untuk satu lawan satu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bersedia untuk duduk berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mencapai matlamat satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Naib pengerusi Amanah Perak Dr Muhaimin Sulam berkata, parti itu yakin kewujudan PPBM di negeri itu akan mengukuhkan muafakat bagi mencapai matlamat tersebut.

PPBM Perak akan dilancarkan pada 2 Oktober depan di Dewan EMV, PPMP3 Plaza Bowling, Seri Manjung.

“Amanah Perak tegaskan akan duduk berbincang dengan semua parti politik bagi berdepan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 nanti khasnya yang dijangkakan semakin hampir.

“Amanah Perak mengalu-alukan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Negeri Perak kerana ia mampu memberikan impak besar politik di Perak khasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, Amanah Perak bersama Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama untuk menumbangkan BN terutamanya dalam membantah syor persempadanan kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Bersatu diluluskan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 September lalu dengan nama singkatan PPBM.

Penubuhan parti baharu diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan didaftarkan pada 9 Ogos lalu.

Parti baharu itu dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan nama singkatannya Bersatu namun nama singkatannya kini PPBM.

TAGS