Amanah Perak sedia kerjasama dengan Bersatu untuk grand coalition

Amanah Perak sedia kerjasama dengan Bersatu untuk grand coalition

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bersama Pakatan Harapan bersedia menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru dilancarkan di negeri itu.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, pihaknya bersama Pakatan Harapan akan memastikan satu ‘grand coalition’ yang disertai PPBM dan parti pembangkang lain terbentuk di negeri itu bagi menentang Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14.

“Kerjasama Amanah dengan Bersatu akan dipupuk dengan cukup baik malah Amanah dan Pakatan Harapan telah pun memulakan langkah pertama dengan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Bersatu negeri Perak untuk perbincangan dan kerjasama tersebut” katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata, semua parti pembangkang harus mengenepikan ego dan kepentingan parti masing-masing demi memastikan matlamat satu lawan satu dalam PRU14 terlaksana.

“Amanah minta parti-parti pembangkang ketepikan ego dan kepentingan parti masing-masing dan fokus kepada agenda menjatuhkan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang demi kepentingan rakyat,” katanya yang juga bendahari agung Amanah Nasional.

Penubuhan PPBM atau juga dikenali sebagai Bersatu di Perak dilancarkan di Seri Manjung Sabtu lalu dengan dihadiri pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan Perak.

Dalam pada itu Asmuni menyatakan rasa hairan terhadap sikap Pas yang bersedia bekerjasama dengan PPBM walaupun parti itu secara jelas bekerjasama dengan DAP namun dalam masa yang sama menuduh Amanah sebagai kuda tunggangan DAP kerana menjalinkan hubungan dengan parti itu.

“Peliknya Pas kata mereka boleh bekerjasama dengan semua parti pembangkang tetapi tidak dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP.

“Pas kata dia boleh bekerjasama dengan Bersatu tapi Bersatu juga bekerjasama dengan DAP.

“Amanah pun bekerjasama dengan DAP. PKR pun bekerjasama dengan DAP. Kenapa boleh bekerjasama dengan Bersatu dan PKR pula? soalnya

Beliau juga berkata, kesediaan PPBM untuk bekerjasama dengan DAP juga sekaligus katanya menolak tohmahan Pas dan Umno kononnya Amanah merupakan kuda tunggangan DAP.

“Bersatu ialah kumpulan nasionalis Melayu tapi mereka juga boleh berkerjasama dengan DAP. Adakah nasionalis Melayu ini juga menjadi kuda tunggangan DAP seperti yang mereka tujukan kepada Amanah sekarang ini?

“Kalau mereka mengatakan bahawa Amanah ini kuda DAP maknanya Bersatu juga kuda DAP sebab bekerjasama dengan DAP.

“Sikap Bersatu ini satu aspek yang baik untuk menolak tohmahan bahawa Amanah kuda DAP. Sekarang kita mengatakan kalau kita kuda DAP maknanya parti pembangkang lain yang bekerjasama dengan DAP juga kuda DAP,” tegasnya.

TAGS