Amanah Sabah kecam penahanan Jufazli

Amanah Sabah kecam penahanan Jufazli

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah Sabah mengecam penahanan pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah Jufazli Shi Ahmad oleh polis dan menggesa beliau dibebaskan segera.

Ketua Pemuda Amanah Sabah Mohd Khairuddin Daud dalam satu kenyataan berkata, polis tidak sepatutnya mengambil tindakan terhadap Jufazli yang lantang mendedahkan skandal rasuah di Sabah, sebaliknya perlu menyiasat individu-individu yang terbabit dengan skandal tersebut.

“Petang kelmarin, pihak Amanah telah mendapat makluman bahawa Jufazli Shi Ahmad telah ditahan di Balai Polis Travers di bawah kesalahan S. 233 Akta SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia).

“Kumpulan peguam Amanah atau Kanun juga dimaklumkan awal pagi tadi bahawa pihak polis cuba mereman beliau untuk dibawa ke Pulau Tambang bagi meneruskan proses soal siasat.

“Oleh itu, Kanun akan melawan permohonan reman polis di hadapan Majistret di Balai Jinjang,” kata Khairuddin.

Beliau menyifatkan Jufazli menjadi mangsa pendakwaan terpilih.

“Pihak polis sepatutnya menahan dan menyiasat individu-individu yang berkait dengan skandal rasuah yang didedahkan oleh Jufazli, dan bukannya menahan Jufazli serta menggeledah kediamannya,” ujarnya.

Khairuddin seterusnya menyeru rakyat Sabah agar menyatakan solidariti terhadap Jufazli yang telah menunjukkan kegigihan sebagai pejuang rakyat.

TAGS