Amanah Sabah luah masalah air di konvensyen

Amanah Sabah luah masalah air di konvensyen

Parti Amanah Negara (Sabah) mendakwa rakyat di negeri itu menghadapi masalah air sejak tahun 2013 kerana rasuah yang dilakukan pegawai kanan Jabatan Air Sabah.

Parti Amanah Negara (Sabah) mendakwa rakyat di negeri itu menghadapi masalah air sejak tahun 2013 kerana rasuah yang dilakukan pegawai kanan Jabatan Air Sabah.

Menurut perwakilan Sabah Mohd Khairuddin Daud, salah guna kuasa ini berlaku kerana kerajaan tidak telus dalam memberikan tender dan projek yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Kerana rasuah dua pegawai kerajaan ini, kami rakyat Sabah menderita berhadapan masalah air sejak 2103,” katanya ketika membahaskan pidato presiden di Konvensyen Amanah Nasional kali pertama di Shah Alam hari ini.

Pada Oktober lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM112 juta wang tunai dan wang yang disimpan di dalam bank susulan penahanan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa.

Jumlah tersebut merangkumi RM52 juta wang tunai dan RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan- menjadikan rampasan terbesar SPRM setakat ini.

Justeru Khairuddin mencadangkan Amanah agar menggesa kerajaan lebih telus dalam memberikan maklumat kepada rakyat khususnya melibatkan projek insfrastruktur agar idak berlegar dalam kalangan kroni sahaja.

“Kerajaan seharusnya memberi maklumat berkenaan tender-tender dengan lebih terbuka dan saksama kepada rakyat agar rakyat sendiri dapat menilai, mengaudit dan meneliti projek-projek daripada kerajaan.

“Ini dapat mengawal korupsi daripada telus berleluasa kerana ada “mata-mata” daripada rakyat yang akan menyemak projek-projek,” katanya.

Khairuddin yang juga Ketua Pemuda Amanah Sabah turut mencadangkan proses tender menjalani penilaian, semakan dan konsultasi daripada orang awam demi menjamin tiada ketirisan dalam projek-projek serta mengelakkan projek-projek yang membazir tidak dijalankan.

“Isu rasuah bernilai jutaan ringgit Pengarah Jabatan Air Sabah dapat dielakkan sekiranya projek-projek yang menyumbang kepada jutaan ringgit itu diteliti dan diaudit sendiri oleh rakyat,” tegasnya.

Selain itu, beliau mahu Amanah mengangkat Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sekiranya memerintah Malaysia selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Amanah mesti memastikan hak rakyat Sabah seperti 20% royalti petroleum dikembalikan seperti yang terkandung dalam perjanjian Malaysia,” katanya.

TAGS