Amanah Sabah sedia kerjasama dengan Warisan

Amanah Sabah sedia kerjasama dengan Warisan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sabah menyambut baik penubuhan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diterajui Datuk Seri Syafie Afdhal dan bersedia menjalinkan kerjasama bagi kebaikan rakyat Sabah.

Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah yakin penubuhan Warisan mampu membawa perubahan politik di Sabah dan menjadi pilihan kepada BN.

“Berikutan Tsunami politik dan krisis ekonomi ekoran salahlaku pemimpin kerajaan, sebahagian ahli politik dan pemimpin negara berasa terpanggil untuk menggembleng suatu usaha besar dalam menangani situasi tersebut,” ujarnya.

Kegawatan politik dan ekonomi ini, jelas Hamzah turut dirasai sebahagian pemimpin BN sehingga ada yang meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan selain bertindak meninggalkan BN.

“Seperti yang kita sedia maklum, mutakhir ini, ramai bekas pemimpin dan ahli BN keluar daripada komponen sekaligus menyertai barisan pembangkang yang lain termasuklah membentuk parti baru seperi Bersatu di Semenanjung dan Warisan di Sabah.

“Pastinya sebagai rakyat Sabah, perhatian kita kini tertumpu kepada parti Warisan kerana dapat dilihat kewujudannya sedikit sebanyak telah menggugat kestabilan dan keangkuhan Umno di Sabah yang selama ini beranggapan Sabah adalah deposit tetap mereka,” jelasnya.

Menurut Hamzah, Syafie yang mengadakan siri jelajah ke seluruh  Sabah telah menyatakan keazaman untuk menumbangkan Umno dan BN sekaligus membela nasib dan kedudukan rakyat Sabah.

Pemimpin parti Warisan itu juga, ujar beliau berhasrat untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam melakukan perubahan politik di negeri itu.

“Atas dasar perjuangan yang disebutkan itu, maka Amanah Sabah menyambut baik hasrat tersebut dan sangat mengalu-alukan kehadiran Warisan bersama Pakatan Harapan,” tambahnya.

Menjelaskan mengenai langkah bagi membentuk kerjasama antara parti pembangkang, Hamzah menjelaskan Amanah Sabah dan Pakatan Harapan Sabah bersedia untuk mengadakan perbincangan  bagi mengukuhkan barisan pembangkang di Sabah.

“Kami berharap Warisan bersedia untuk mengadakan  perbincangan bagi menggembleng tenaga dan kekuatan merealisasikan cita-cita satu lawan satu mendepani Umno/BN pada PRU ke-14 akan datang. Kami percaya hanya dengan permuafakatan dan pelaksanaan seteliti ini Umno/BN dapat dikalahkan,” katanya.

Selain itu, Hamzah turut mengingatkan semua pemimpin Sabah agar bersikap telus dalam memikul usaha menumbangkan regim, membaiki sistem negara dan memelihara kebajikan rakyat.

TAGS