AMANAH sambut baik PKR sedia bincang calon PM Pakatan Harapan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

AMANAH menyambut baik kesediaan PKR untuk membincangkan cadangan menamakan calon perdana menteri Pakatan Harapan jika berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, pemukiman PH baru-baru ini tidak membincangkan agenda ini dengan meluas kerana keengganan PKR untuk membincangkan perkara ini.

“Sekarang PKR sudah sedia untuk berbincang, jadi kita bolehlah bincangkannya sampai selesai,” kata Khalid kepada Malaysia Dateline.

Khalid mengulas kenyataan rasmi PKR yang dibuat melalui Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.

Dalam kenyataannya semalam, Fahmi berkata, Biro Politik PKR mengambil maklum dan membahaskan tentang cadangan penamaan calon perdana menteri yang telah dikemukakan sewaktu pemukiman pimpinan PH 1-2 Disember lalu.

“Memandangkan cadangan tersebut belum diangkat secara rasmi oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan, dan mengambil kira sejarah serta prinsip-prinsip perjuangan reformasi, maka Biro Politik PKR mengambil keputusan meneruskan perbincangan berkenaan cadangan ini untuk memastikan ianya terbaik buat Malasia,” kata Fahmi.

Selepas berita kononnya Tun Mahathir Mohamad dicalonkan sebagai perdana menteri sementara PH dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai timbalannya disiarkan oleh sebuah portal berita, AMANAH dan Khalid sendiri menafikan perkara ini dibincangkan.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS