Amanah Sarawak jangka bertanding 10 kerusi Dun

Amanah Sarawak jangka bertanding 10 kerusi Dun



Amanah menjangkakan akan bertanding dalam lapan hingga 10 kerusi Dun pada PRN-11 yang diumumkan tarikh pengundiannya oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada 30 April depan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mohamad Fidzuan berucap dalam satu majlis parti di Sarawak.Menghampiri tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) yang secara automatiknya berakhir pada 20 Jun ini, Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sarawak bersiap siaga melakukan persediaan di semua kawasan yang akan ditandingi.

Pengerusinya, Mohamad Fidzuan Zaidi berkata, semua kerusi Dun yang bakal ditandingi mempunyai peluang sama rata untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak kali ini.

Bercakap kepada Malaysia Dateline ketika dihubungi, Amanah menjangkakan akan bertanding dalam lapan hingga 10 kerusi Dun pada PRN-11 yang diumumkan tarikh pengundiannya oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada 30 April depan.

Fidzuan turut menyifatkan keputusan PRN-11 merupakan gambaran yang akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang sama seperti yang berlaku dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini.

Tanpa mahu menyatakan keyakinan Amanah untuk mendapat ‘anak sulung’ daripada mana-mana kerusi yang ditandingi, beliau melihat pentingnya kesepakatan antara parti-parti pembangkang dalam demografi majmuk di Sarawak.

“Bagi menghadapi BN, satu pakatan parti-parti pembangkang diperlukan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang rencam.

“Ternyata formula sebelum ini menampakkan kejayaan yang boleh dipertingkatkan dari masa ke semasa,” tambahnya lagi yang pernah menjadi pengarah pilihan raya Pas negeri.

Beliau juga akhir tahun lalu dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk bertanding menentang Pas sekiranya keadaan memerlukan selepas berbincang dengan rakan-rakan komponen dalam Pakatan Harapan.

Selain Fidzuan, dua pemimpin utama Pas Sarawak turut berhijrah kepada Amanah iaitu Setiausaha Perhubungan, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Ketua Penerangan, Andri Zulkarnaen Hamden manakala Pesuruhjaya Pas negeri, Allahyarham Adam Ahid meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas akan meletakkan calon di 11 kerusi pada pilihan raya negeri kali ini bahkan secara terbuka memberitahu akan bertanding di beberapa kerusi bandar yang pernah ditandingi DAP.

Untuk rekod, keputusan pilihan raya negeri 2011 menyaksikan BN menguasai 55 kerusi daripada 71 kerusi dipertandingkan sekaligus mengekalkan majoriti dua pertiga meskipun hilang lapan kerusi.

Sementara itu, DAP muncul sebagai parti pembangkang paling berjaya dengan menyapu 12 daripada 15 kerusi Dun ditandinginya.

Bagi PKR pula hanya menang tiga daripada 49 kerusi ditandingi iaitu Batu Lintang, Ba’Kelalan dan Krian manakala Pas kalah semua lima kerusi.

Walau bagaimanapun, di kerusi Beting Maro, Pas hanya kekurangan majoriti 391 undi berbanding 895 undi dalam pilihan raya negeri tahun 2006.

Hanya kira-kira 28 peratus sahaja penduduk Sarawak beragama Islam dengan kawasan majoriti masyarakat Melayu Melanau dikuasai BN melalui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (Pesaka).

Bagi PRN-11 kali ini, sebanyak 11 kerusi baharu dibentuk di Sarawak dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya menjadikan keseluruhannya berjumlah 82 kerusi.

Daripada 11 kerusi Dun terbabit, tiga kawasan terdiri daripada majoriti kaum Melayu/Melanau (Gedong, Kabong dan Telian), tiga majoriti kaum Iban (Stakan, Selirik dan Samalaju), dua majoriti Orang Ulu (Murum dan Long Lama), dua majoriti kaum Bidayuh (Serembu dan Triboh), dan satu majoriti kaum Cina (Batu Kitang).

Pada 31 Januari lalu, Pakatan Harapan yang terdiri daripada Amanah, PKR dan DAP berikrar akan bertanding di semua kerusi terbabit tidak terkecuali kerusi Tanjung Datu yang disandang oleh Adenan.

TAGS