Amanah Selangor gembira bajet peduli rakyat kerajaan negeri

Amanah Selangor gembira bajet peduli rakyat kerajaan negeri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah Selangor merakam ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan atas inisiatif kerajaan negeri seperti dibentangkan dalam belanjawan semalam.

Pengerusinya Ir Izham Hashim berkata, belanjawan yang disifatkan sebagai peduli rakyat itu membuktikan Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Datuk Azmin Ali sangat prihatin terhadap kebimbangan rakyat ekoran keadaan ekonomi negara yang begitu menekan kehidupan sekarang.

“Reaksi awal para netizen memperlihatkan lebih 83 peratus memberikan reaksi positif ke atas Bajet Selangor 2017, berbanding tidak sampai 45 peratus yang memberikan reaksi positif ketika Bajet Nasional 2017 Najib,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, peningkatan perbelanjaan oleh Kerajaan Selangor lebih diserikan lagi dengan unjuran peningkatan pendapatan yang akan menjadikan belanjawan tahun hadapan adalah suatu belanjawan “surplus” sekaligus menyumbang kepada kepada peningkatan tabungan rizab Negeri Selangor sedia ada.

“Harapan kami daripada parti Amanah ialah agar capaian manfaat belanjawan ini diperluas agar dapat dinikmati oleh golongan yang selama ini kurang mendapat manfaat seperti para pekerja di sektor swasta, para petani dan nelayan, para pelajar institusi pengajian tinggi, usahawan dan peniaga kecil, para pemandu teksi dan lain-lain.

“Peruntukan besar yang disalurkan melalui para wakil rakyat mestilah dipastikan mencapai sasaran secara tepat dan berkesan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Izham berkata, pihaknya berharap manfaat yang dinikmati oleh kakitangan sektor awam Negeri Selangor dapat diterjemahkan dalam bentuk perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

“Selangor mampu menjadi sebuah negeri yang bersih, indah, selamat, selesa dan penuh berkat yang menjadi idaman seluruh rakyat untuk didiami,” ujarnya lagi.

Antara insentif yang dinikmati rakyat Selangor dalam Belanjawan 2017 adalah peruntukan berjumlah RM125 juta untuk rawatan kesihatan percuma kepada sejuta rakyat negeri itu serta kenaikan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/T).

Selain itu, peruntukan bagi penyelenggaraan lif dan pengindahan rumah pangsa kos rendah dinaikkan daripada RM25 juta kepada RM55 juta di bawah Program Ceria manakala penjawat awam negeri bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak dua bulan gaji melibatkan dana sebanyak RM57.25 juta.

TAGS