Amanah semakin berat, akui Timbalan Presiden Pas

Amanah semakin berat, akui Timbalan Presiden Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemergian Datuk Dr Haron Din ke rahmatullah hari ini mengundang kesedihan yang tidak dapat disembunyikan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Air mata tumpah di hadapan Kaabah tidak dapat memadam kesedihan perginya seorang guru, sahabat dan pemimpin yang amat dikasihi.

“Perjuangan perlu diteruskan. Amanah semakin berat. Terasa mutakhir ini parti kehilangan satu demi satu tokoh yang banyak berjasa dan menjadi rujukan,” ujarnya dalam satu kenyataan ketika di Masjidil Haram.

Beliau menyifatkan Mursyidul Am Pas itu pergi pada saat pelbagai fitnah dilemparkan kepadanya.

Tuan Ibrahim menganggap Allahyarham terkenal sebagai seorang yang tabah tidak mempedulikan apa orang lain kata sebaliknya hanya takut melanggar apa yang Allah kata iaitu wahyu.

“Kesedihan tidak boleh dibiar lama sehingga melemahkan semangat juang di saat parti berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pimpinan dan ahli Pas untuk menjadikan kehilangan Allahyarham sebagai pembina semangat supaya istiqamah sehingga akhir hayat.

“Perkasakan ukhuwah jemaah. Mantapkan gerakerja parti. Susun semua kekuatan yang ada. Dengar dan patuh arahan Presiden dan pimpinan parti di waktu susah dan senang selagi ia tidak bercanggah dengan syarak,” tegasnya.

Turut menganggap perjuangan bukan sekadar mengambil alih Putrajaya, beliau mengingatkan perjuangan juga bukan hanya untuk dunia yang sementara.

“Ia jauh sehingga kita bertemu dengan Pencipta dalam keadaan Allah redha kepada kita dan tentunya kita redha kepada Allah.

“Tuan Guru Dr Haron Din dan pimpinan sebelumnya telah membuktikannya. Akan sampai nanti giliran kita pula. Semoga Allah cucuri rahmatNya,” tambah Tuan Ibrahim lagi.

TAGS