Amanah sertai usaha bantu ringankan beban ibubapa di awal persekolahan

Amanah sertai usaha bantu ringankan beban ibubapa di awal persekolahan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Aktivis Amanah menyertai gerakan membantu mengurangkan kos perbelanjaan pelajar menghadapi suasana kembali ke sekolah.

Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang berucap di majlis Jom Gunting Rambut Percuma yang dianjurkan Amanah Rantau Panjang berkata, usaha seperti itu memang menjadi teras aktiviti parti.

“Saya selaku pengerusi negeri amat berterima kasih kepada Amanah Rantau Panjang yang begitu gigih berusaha dalam membantu ibu bapa yang kini berhadapan kesukaran membiayai keluarga.

“Walaupun usaha seperti ini dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun kepada anak-anak yang akan kembali ke sekolah ia amat bermakna dan tentulah ibu bapa juga dapat kita ringankan beban mereka,” katanya.

Dalam program yang diadakan pada Selasa lalu seramai 130  pelajar telah menyertainya.

Menurut penyelaras program Mohd Ridzuan Muhammad, seramai lima orang tukang gunting profesional telah bertugas dalam program sehari itu.

“Aktiviti di Dun Meranti itu diadakah di rumah Pok Li di Gebeng.

“Saya bagi pihak ketua kawasan Amanah Rantau Panjang Dr Shahjihan yang kini berada di tanah suci mengerjakan umrah dan seluruh ahli jawatankuasanya mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan rumah dan semua yang terlibat menjayakan majlis ini,” katanya.

Sementara itu di Ketereh, Timbalan Ketua Amanah Kawasan Mejar(B) Zaidi Abdul Halim mengadakan bantuan pakaian seragam sekolah percuma kepada pelajar-pelajar di sekitar Kampung Kemubu.

Menurut beliau bantuan ini hasil sumbangan rakan-rakannya semasa bertugas dahulu.

“Sebanyak 150 pasang pakaian baru berjenama telah diagihkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

“Pakaian seragam ini dalam pelbagai saiz dan kategori untuk lelaki, perempuan, sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Cara beliau membahagi set pakaian seragam itu ialah dengan mempamerkan di halaman rumahnya yang terletak di tepi jalan raya.

“Saya menyebarkan maklumat menerusi aplikasi whatsapp kampung dan mereka yang kurang berkemampuan datang sendiri memilih pakaian yang sepadan dengan mereka,” katanya.

Beliau bersyukur kerana dapat memberi sumbangan kepada penduduk sekitar kampungnya dan berharap Amanah akan terus mempergiatkan lagi usaha-usaha seperti ini di masa akan datang.

Di Kubang Kerian, program gunting rambut percuma sempena kembali ke sekolah akan diadakan pada Jumaat 30 Disember ini bermula dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang bertempat di hadapan Sekolah Kebangsaan Mentuan, Binjai.

Pihak penganjur meminta ibubapa membawa anak-anak ke program berkenaan untuk mendapatkan khidmat percuma ini.

Seramai 150 pelajar turut menerima bantuan baju sekolah.

TAGS