Amanah sokong himpunan Bersih 5.0

Amanah sokong himpunan Bersih 5.0

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah menyokong penuh himpunan Bersih 5.0 yang dijadualkan pada 19 November ini dan yakin himpunan aman itu tidak membawa mudarat kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Malah Presidennya, Mohamad Sabu turut menaruh keyakinan kepada pihak polis untuk mengawal keselamatan dan keamanan para peserta himpunan seterusnya mengenal pasti golongan sebenar yang mengancam keselamatan negara.

“Demonstrasi atau tunjuk perasaan secara aman tidak akan membawa kepada huru hara atau malapetaka kepada mana-mana negara. Malah ada negara maju yang membenarkan rakyatnya berdemonstrasi atau tunjuk perasaan tanpa kekerasan dan negara itu dikategorikan sebagai aman dan selamat,” ujar beliau.

Menurutnya, antara negara-negara maju yang rakyatnya selalu berdemonstrasi adalah Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman dan hampir seluruh negara Kesatuan Eropah (EU).

Malah rakyat di negara-negara Asia seperti Jepun, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Indonesia juga, jelas beliau tidak ketinggalan meraikan ruang demokrasi melalui demonstrasi.

“Rakyat di negara-negara ini selalu keluar secara beramai-ramai menyatakan ketidaksukaan mereka terhadap sesuatu perkara atau sesuatu isu yang di lakukan oleh pemimpim di negara mereka, atau tunjuk perasaan terhadap kuasa besar atau mana-mana negara lain yang mengancam negara mereka.

“Sekalipun begitu, pelabur-pelabur sentiasa datang kerana mereka tahu negara tersebut aman dan rakyat sentiasa diberi peluang untuk bertindak tanpa mengangkat senjata,” katanya.

Bagaimanapun tambah beliau, negara-negara diktator yang tidak mengizinkan demonstrasi aman dan berakhir dengan peristiwa berdarah seperti negara-negara Timur Tengah tidak disukai para pelabur dan pemodal.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu di negara ini agar tidak cuba mengancam demonstrasi aman khasnya yang dianjurkan Bersih.

“Saya berkeyakinan penuh, keselamatan rakyat dan negara akan dapat dikawal oleh pasukan keselamatan, polis dan tentera.

“Mereka yang mengancam himpunan aman itulah yang menyebabkan negara dipandang sebagai negara diktator dan pelabur-pelabur enggan datang dan meniaga secara besar-besaran di negara tersebut,” ujarnya lagi.

Mohamad memberi contoh negara jiran Thailand yang menjadi tumpuan pelabur dan pelancong dengan matawang yang kukuh berbanding Malaysia walaupun demonstrasi aman kerap berlaku dalam skala yang besar dan tempoh yang lama.

“Begitu juga di Hong Kong, demonstrasi payung dibuat berhari-hari dan berminggu tetapi Hong Kong mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang paling baik di seluruh negara China,” katanya.

Beberapa pihak baru-baru ini membantah cadangan Bersih untuk mengadakan himpunan Bersih 5.0 bagi menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil.

Kumpulan yang diketuai Ali Tinju mengugut akan mengadakan ‘senaman punggung’ di hadapan rumah Pengerusi Bersih 2.0 Marina Chin Abdullah bagi mendesak himpunan aman itu dibatalkan kerana didakwa ‘akan merugikan peniaga dan ekonomi negara’. 

TAGS