Amanah tiada duit, dapat dana DAP fitnah – Mohamad Sabu

Amanah tiada duit, dapat dana DAP fitnah – Mohamad Sabu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui berdepan sumber kewangan untuk menguruskan sebuah parti politik dan terpaksa menggunakan pelbagai kaedah bagi mendapatkan dana.

Presiden Amanah, Mohammad Sabu berkata, Amanah memerlukan sekurang-kurangnya RM50,000 sebulan untuk urusan operasi keseluruhan termasuk elaun kakitangan, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, Amanah kini hanya ada lima kakitangan di peringkat Pusat yang menguruskan hal-hal berkaitan di seluruh negara termasuk setiausaha agung, dua timbalan dan dua kakitangan yang menguruskan segalanya.

“Kita akui berdepan dana kewangan dan sebab itu kita buat majlis makan, kutipan derma dan lain-lain sumber termasuk dari ahli parlimen dalam Amanah untuk menampung kos operasi ketika ini.

“Ada yang kata kita terima sumbangan berjuta dari DAP itu semua tak betul, kita akui berdepan sumber kewangan,” katanya selepas hadir menyampaikan taklimat di Wisma Amanah Pahang di Taman Chengal di sini, hari ini.

Mohammad Sabu mengakui sambutan yang diterima dari seluruh negara untuk menyertai parti itu amat menggalakkan dan sehingga kini sebanyak 130,000 borang keahlian sudah diedarkan.

Menurutnya, satu per tiga daripada jumlah itu sudah diterima permohonan mereka dan selebihnya dalam proses.

“Kita berdepan masalah kelemahan pendaftaran ahli dan sebab itu saya turun ke bawah berjumpa dengan negeri untuk menerangkan kaedah yang akan kita guna selepas ini untuk mengambil ahli baharu, kita juga dalam proses untuk membuat pendaftaran online,” katanya.

TAGS