Amanah tidak diperguna DAP

Amanah tidak diperguna DAP

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan sebuah parti Islam dan tidak pernah menjadi alat serta dipergunakan oleh mana-mana parti politik di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir berkata, dakwaan yang mengatakan Amanah merupakan alat kepada DAP adalah berniat jahat dan fitnah semata-mata malah ia turut dianggap sebagai tuduhan tanpa fakta.

“Kami adalah parti Islam yang tak mungkin diperalatkan oleh mana-mana pihak.

“DAP merupakan sebuah parti demokratik yang memperjuangkan nasib rakyat malah mereka juga telah menjadi mangsa tohmahan rasis sejak dari dulul lagi,” katanya seperti dilapor Sinarharian hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa Amanah diibaratkan seperti ‘penyapu’ berikutan kesungguhan mereka mempertahankan DAP khususnya dalam agenda memperkasakan Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Menyentuh mengenai dakwaan itu, Anuar berkata, Amanah telahpun memberi pandangan di Parlimen berhubung pendirian mereka terhadap RUU355 dan segala tuduhan yang dilemparkan tersebut adalah palsu.

“Bila masa kita tentang RUU355?

“RUU355 belum dibentangkan malah hanya baru dibaca di Parlimen dan saya mempersoalkan dakwaan fitnah tanpa bukti tersebut,” katanya.

TAGS