Amanah tubuh jawatankuasa bela Orang Asli

Amanah tubuh jawatankuasa bela Orang Asli

Parti Amanah Negara (Amanah) memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa berhubung isu tuntutan Orang Asli di Kelantan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa berhubung isu tuntutan Orang Asli di Kelantan.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

“Amanah telah bermesyuarat pada 9 Disember, sehari sebelum konvensyen dan keputusan telah dibua untuk menubuhkan jaawatankuasa berkaitan hak Orang Asli ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Dalam ucapan penangguhan di Konvensyen Amanah Nasional di Shah Alam semalam, Siti Mariah berkata jawatankuasa itu akan disertai oleh wakil sayap-sayap wanita dan pemuda, Biro Undang-undang Amanah (Kanun), dan wakil setiap negeri khususnya dari Kelantan sendiri.

“Sebelum ini kita tubuhkan jawatankuasa berhubung pindaan RUU355 kita turun ke seluruh negara untuk memberikan penjelasan dan mendapatkan maklum balas sehingga akhirnya RUU ini dipinda daripada tiada jumlah had hukuman kepada ada had hukuman.

“Jawatankuasa RUU355 telah dibubarkan dan sekarang kita akan bekerja untuk jawatankuasa berkaitan hal Orang Asli kerana kita nak cari penyelesaian terbaik berhubung tuntutan mereka,” katanya.

Siti Mariah berkata, beliau akan memanggil mesyuarat pertama dalam masa terdekat bagi menggerakkan jawatankuasa itu.

Terdahulu, usul membela hak Orang Asli dan Alam sekitar yang dikemukakan Awan diterima konvensyen selepas dibahaskan oleh beberapa perwakilan.

Usul yang dikemukakan itu mengimbau penahanan 54 Orang Asli pada 30 November lalu di Gua Musang semata-mata mempertahankan tanah tempat tinggal mereka daripada dimasuki pembalak-pembalak yang mengakibatkan pencemaran alam dan kerosakan tempat mereka mencari rezeki.

“Menyedari bahawa Orang Asli berhak untuk menuntut hak mereka ke atas tanah adat dan alam sekitar terutama sungai yang merupakan elemen terpenting dalam kehidupan mereka sebagai sumber bekalan air, makanan dan tempat tinggal, Awan mengusulkan lima desakan,” kata perwakilan Awan Anfal Saari.

Awan mahu Amanah mendesak kerajaan Kelantan mengkaji semula dan mencadangkan sempadan tanah adat orang asli dalam mengekalkan kehidupan asal mereka yang bergantung sepenuhnya dengan sumber alam.

“Kita juga mahu Kelantan yang mendapat legitimasinya atas nama Islam untuk patuh kepada ajaran Islam untuk membela golongan daif.

“Kelantan juga didesak menggugurkan semua tuduhan ke atas Orang Asli berkaitan dengan tindakan blokade dan mengadakan segera perbincangan dan perundingan dengan Orang Asli,” katanya.

Awan juga mendesak kerajaan negeri Kelantan menghentikan corak pembalakan yang memusnahkan habitat kehidupan liar dan juga sumber rezeki Orang Asli.

Perwakilan Kelantan, Che Ibrahim Mohamad yang juga Naib Pengerusi Amanah Kelantan dalam perbahasannya membidas tindakan kerajaan Pas Kelantan yang bersungguh-sungguh memperjuangkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian pindaan Akta Mahkamah Syariah (RUU355), tetapi mengabaikan hak tanah adat Orang Asli di Gua Musang.

“Mereka hanya meminta pihak kerajaan tidak membenarkan pembalakan dan pembukaan ladang komersil di sekitar kawasan mereka duduki. Bukan di semua tempat di Kelantan,” katanya.

TAGS