Amanah ucap takziah kepada mangsa gempa bumi Jepun

Amanah ucap takziah kepada mangsa gempa bumi Jepun

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Jepun berikutan gempa bumi berganda yang melanda Pulau Kyushu baru-baru ini.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa, Raja Bahrin Shah berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib puluhan ribu penduduk terjejas di selatan negara itu ekoran gempa bumi kuat sejak 14 April lalu.

“Kami berkongsi kesedihan dengan bencana alam yang dialami rakyat Jepun itu. Tentunya amat sukar bagi penduduk untuk menghadapi pelbagai kemungkinan selepas terjadinya gempa bumi yang berturutan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, rakyat Jepun yang dikenali umum sebagai bangsa yang tabah dan cekal berdepan musibah diharap akan dapat segera bangkit daripada kesedihan.
“Kami percaya watak rakyat Jepun yang berdaya tahan akan memastikan mereka dapat menangani kepayahan ini seterusnya menjadi negara bangsa yang lebih kuat,” kata Raja Bahrin.

Sehubungan itu, Amanah tambahnya lagi mendoakan kesejahteraan rakyat di negara Matahari Terbit itu serta mengharapkan terbaik untuk pembinaan semula fizikal dan proses penyembuhan rohani.

Dilaporkan, gempa bumi dengan magnitud 6.5 menggegarkan Kumamoto, di selatan Jepun, 14 April lalu diikuti gegaran bermagnitud 7.1 hanya 28 jam selepas itu.

Ketika kira-kira 25,000 anggota penyelamat termasuk tentera, bomba dan perubatan berada di lokasi terjejas, satu lagi gempa berukuran 5.8 magnitud melanda Kumamoto, Isnin lalu.

Setakat ini, angka kematian akibat gempa bumi itu meningkat kepada 44 orang dan 1,500 cedera manakala 11 mangsa hilang dibimbangi terperangkap di celah runtuhan bangunan atau tanah runtuh.

Selain itu, lebih 94,000 mangsa masih berada di pusat pemindahan selepas rumah mereka rosak teruk manakala 320,000 kediaman terputus bekalan air.

TAGS