Amanah yakin rakyat tidak terpedaya propaganda S4S BN

Amanah yakin rakyat tidak terpedaya propaganda S4S BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong gagasan “Sarawak for Sarawakian – S4S” dalam ertikata yang sebenar sekiranya gagasan itu merupakan satu tentangan rakyat terhadap sikap kerajaan yang sambil lewa serta tidak berlaku adil kepada penduduk tempatan.

Pengarah Pusat Media Amanah, Dr Mohamad Jolhi berkata Barisan Nasional (BN) tidak menepati konsep “Sarawak for Sarawakian” yang cuba dipelopori oleh BN bertujuan menghalang penyertaan parti-parti politik yang kononnya berpengkalan di Semenanjung.

“Pengertian sempit ini tidak menggambarkan BN sebagai sebuah parti yang tidak hanya bertumpu di Sarawak semata-mata.

“Isu S4S sedang hangat diperkatakan sepanjang kempen pilihanraya PRN Sarawak Ke-11.

“Gagasan ini telah lama dipelopori semenjak tahun 1992. S4S adalah merupakan satu tentangan rakyat terhadap sikap kerajaan yang sambil lewa serta tidak berlaku adil kepada penduduk tempatan.

“S4S juga adalah selari dengan Sembilan Kardinal Perlembagaan Sarawak 1941 yang menyatakan Sarawak adalah Warisan kepada rakyat Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Amanah ujarnya lagi, adalah parti politik yang bersifat nasional. Ia membela nasib dan memperjuangkan hak rakyat tidak mengira agama, bangsa, suku dan lokasi kedaerahan. Ini sesuai dengan pendekatannya yang amanah, progresif, inklusif dan peduli untuk semua.

Amanah amat mengambil berat tentang kehendak dan keperluan agar rakyat negeri Sarawak diwakili oleh calon tempatan.

Justeru itu Amanah telah meletakkan calon yang bertanding di 13 DUN terdiri dari anak-anak jati Sarawak.

“Calon-calon Amanah diwakili oleh pelbagai latar belakang agama, bangsa, pendidikan dan kepakaran. Amanah turut meletakkan calonnya yang merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Ini jelas membuktikan bahawa Amanah bersungguh-sungguh membela semua golongan, seterusnya mengangkat kedudukan mereka ke tahap yang lebih baik dan dihormati segenap lapisan masyarakat.

“Calon Repelson Richard Hamit bagi kawasan Gedong adalah merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan kepujian dalam bidang Perancangan dan Pengurusan Pembangunan. Beliau adalah aktivis Sarawak Dayak Iban Association (Sadia). Beliau juga aktif memperjuangkan hak asasi manusia dan tanah adat.” ujarnya.

Justeru Amanah yakin rakyat Sarawak tidak akan terpedaya dengan propaganda sempit S4S oleh BN. Dominasi BN mesti diimbangi dengan memberikan peluang kepada calon-calon Amanah untuk memenangi PRN kali ini demi memperjuangkan hak dan keadilan untuk rakyat Sarawak.

TAGS