2016: Asnaf zakat perit harga barang melambung

2016: Asnaf zakat perit harga barang melambung

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bersyukur dengan sumbangan RM300 dari pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) namun bantuan bulanan itu dirasakan tidak mampu lagi menampung harga pelbagai barangan dan perkhidmatan yang terus melambung.

Itu keperitan yang Malaysia Dateline dapat rumuskan daripada luahan hati golongan miskin bandar, Norsam Mat Ali, 65, dan Kartini Ahmad, 50, ketika ditemui di perkarangan Pusat Agihan Zakat, Bangunan Daruzzakah, Lorong Haji Hussein di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Biarpun perbualan selama 30 minit itu nyaman disapa tiupan angin yang agak kencang tetapi di hati kedua-dua ibu tunggal ini dapat dikesan sudah dilanda ribut ekoran kenaikan mendadak kos sara hidup dalam tempoh kurang lima tahun.

“Bawang kecil contohnya sekarang sudah RM11 sekilo, lima tahun lepas boleh dapat lagi RM5.50 sekilo. Sardin dalam tin itu dulu boleh dapat murah lagi. Sekarang sardin juga dah naik harga. Ikan di pasar pula cecah berpuluh ringgit sekilo.

“Apa semua ini? Makcik ini bukan banyak mana makan pun. Makan bersukat, malam pun jarang makan, tapi bila semua barang makanan naik harga berlipat kali ganda, kami ini mahu makan apa?” ujar Norsam yang menjadi ibu tunggal sejak tahun 1995.

“Orang macam makcik ini memang terasa sangat peritnya. Allah saja yang tahu. Maaf cakap. Sekarang kalau tak cukup 50 sen nak masuk tandas awam, simpan dulu air kencing itu, balik rumah baru buang,” ujar Norsam yang menetap di Sungai Tua, Batu Caves.

Mengakui turut menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi terdetik di hatinya, inisiatif kerajaan itu “lebih banyak curi daripada beri” walaupun mengakui beliau bukanlah penyokong tegar mana-mana parti politik pembangkang.

“Orang macam makcik ini bila orang hulur, kita ambil. Najib bagi BR1M kita terima. Masalahnya BR1M bukannya setiap hari dapat tapi makcik yang tidak belajar tinggi ini pun boleh rasa diperbudak apabila setiap hari wang belanja kita kena ‘curi’ dengan GST (cukai barang dan perkhidmatan).

“Kalau nak jimat konon pergi Kedai Rakyat 1Malaysia, tapi semua orang tahu barangan di situ banyak tidak berkualiti, dibungkus semula. Ingat, kita ini bodoh sangatkah?” keluhnya sambil menahan sebak.

Ibu kepada dua anak lelaki ini juga meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggap sudah begitu melampau menindas rakyat miskin.

“Dulu zaman Mahathir (Perdana Menteri), kita bolehlah hidup dengan apa yang ada tapi sekarang, ke kiri kita kena cukai, ke kanan kita kena (cukai) juga. Nak jimat macam mana pun tidak tahu nak buat apa lagi,” katanya.

Pernah cuba memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor, Norsam sambil mengesat air matanya memberitahu layanan pegawai bertugas ketika itu amat menghina dirinya.

“Makcik dah pergi pejabat kebajikan di Batu Caves. Kita ini dibuatnya macam kucing kurap. Pegawai itu sibuk cakap kalau ada anak, anak boleh bantu. Masalahnya anak pun bukan bergaji tinggi. Dia pun ada kehidupannya sendiri.

“Memanglah ada bantu tapi kenapa pihak kerajaan tidak permudahkan saja cara memohon dengan beri sahaja bantuan bulanan kepada orang tua macam kami ini?” soalnya sambil menyeru kerajaan supaya ikhlas untuk membantu warga emas.

Rayu Baitulmal bantu modal berniaga

Mengharapkan pihak Baitulmal dapat menyalurkan bantuan dari segi modal untuk dirinya memulakan perniagaan, Kartini turut mengakui keluhan Norsam berhubung kenaikan kos sara hidup yang disifatkannya semakin tidak munasabah.

Mengambil upah sebagai tukang masak, sumber pendapatan beliau yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan ini banyak bergantung pada permintaan.

“Tempoh hari saya diupah memasak selama seminggu untuk satu majlis keramaian di Rawang. Selepas itu, kena tunggulah (peluang untuk upah memasak). Saya tiada modal hendak berniaga.

“Kalau Baitulmal dapat tolong segerakan untuk tahun baharu ini, dapatlah saya ikhtiar mencari rezeki. Saya juga harap Baitulmal akan buat program bercorak kemahiran untuk golongan ibu tunggal seperti kami,” ujarnya.

Kartini AhmadIbu kepada seorang anak yang sedang menanti tawaran permohonan sewaan rumah di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini turut berkongsikan pendapatnya tentang bahana GST.

“Saya baru buat ‘road tax’ untuk motor, campur insurans semua kena RM250. Kiranya bantuan RM300 yang pusat zakat bagi tinggal RM50 saja lagi. Sebulan mana cukup RM300?

“Dapat pun (bantuan zakat) sebulan sekali tapi orang macam kami ini juga kena cukai GST setiap hari. Adilkah begitu?” bidasnya sambil menunjukan surat berisi butiran ‘Bantuan Kewangan Bulanan RM300 Sebulan kepada Asnaf Fakir’.

Menurut Kartini yang menyewa di Kampung Kerdas, Gombak, Kuala Lumpur, kesan rantaian kenaikan harga barangan keperluan amat perit dirasakan tetapi gaya hidup pemimpin seperti Najib dan isterinya luar biasa mewah.

“Sekarang bila dah ada GST, lagi (harga) barang naik gila-gila, tol naik, tambang KTM, LRT pun bukan lagi murah sekarang. Segala-galanya naik harga dan mahal. Bila gas naik, semua barang naik harga.

“Untung juga jadi Rosmah (isteri Najib). Daripada beg, cincin nak bergerak ke sana sini dengan jet peribadi bukan macam saya dan ramai lagi rakyat yang bergantung pada motor buruk,” katanya lagi yang turut bimbang dengan tindakan kerajaan memotong subsidi beras mulai tahun baharu 2016 ini.

Orang ramai yang berhasrat ingin meringankan beban hidup mereka boleh menyalurkan sumbangan kepada Norsam Mat Ali 1211 3020 1388 63 (Bank Islam) dan Kartini Ahmad 1222 5020 2444 26 (Bank Islam).

TAGS