Ambil 100% pekerja asing: Kerajaan membelakangkan kepentingan rakyat

Ambil 100% pekerja asing: Kerajaan membelakangkan kepentingan rakyat

Cadangan Kerajaan pusat untuk mempertimbangkan secara terperinci mengenai pengambilan 100 % pekerja asing bagi syarikat tertentu dikhuatiri akan menjejaskan peluang golongan muda memasuki pasaran pekerjaan.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil berkata, permintaan tenaga buruh asing ini adalah bertujuan memenuhi permintaan buruh tidak mahir yang menawarkan gaji murah kepada pekerja dan seterusnya mengurangkan kos kepada syarikat.

Bukannya menggunakan buruh asing tidak mahir semata-mata untuk memenuhi pasaran tenaga kerja di negara ini.

“Industri negara ini perlu dibangunkan dengan inovasi teknologi yang lebih moden dan ini sekaligus dapat menggalakkan penggunaan pekerja separa mahir dan mahir yang boleh diisi oleh graduan-graduan teknik dan vokasional tempatan yang rata-rata masih menganggur selepas menamatkan pengajian.

“Untuk rekod, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh mengakui bahawa terdapat 54,103 orang graduan menganggur dalam tempoh 6 bulan menamatkan pengajian.

“Persoalannya, menteri bertanggungjawab sedar bahawa pengangguran bagi graduan di Malaysia adalah tertinggi dalam dekad ini dan menguasai jumlah pengangguran di Malaysia?

” Situasi parah ini akan jadi lebih parah apabila kerajaan mula membenarkan 100% pengambilan buruh asing bagi syarikat atau sektor tertentu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam dipetik berkata,  kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pengambilan 100% pekerja asing oleh syarikat yang menjalankan aktiviti eksport bagi segmen pengeluaran supaya mereka dapat memenuhi permintaan semasa dan masa hadapan tidak mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut Faiz berkata, kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah mendedahkan bahawa bagi tempoh 2015-2020 lebih 5 juta peluang pekerjaan di Malaysia bakal terjejas dan akan mengakibatkan pekerja-pekerja tempatan turut terkesan dengan perubahan yang berlaku dalam suasana ekonomi negara hari ini.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu lebih kreatif untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga modal insan di Malaysia yang mahir dalam pelbagai bidang yang mampu dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi negara.

” Cadangan ini seharusnya dipertimbangkan secara terperinci sebelum ia dilaksanakan. Ini adalah kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan pasaran pekerja tempatan khususnya anak muda yang mana masalah pengangguran yang mencapai 10.7% adalah isu yang begitu membimbangkan.

“Pemuda Amanah menggesa sekali lagi kepada kerajaan agar menaikkan gaji minima kepada RM1,500 sebulan supaya lebih ramai pekerja tempatan berminat untuk bekerja di dalam industri tersebut.

“Kerajaan seharusnya memberikan perhatian lebih kepada kepentingan rakyat berbanding kepentingan pihak-pihak tertentu,” ujarnya.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS