Anak gesa KWSP umum kerugian ditanggung dalam pegangan saham FGV

Anak gesa KWSP umum kerugian ditanggung dalam pegangan saham FGV

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan jumlah kerugian yang ditanggung dari pegangan tabung persaraan itu dalam saham FGV.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, meskipun KWSP dalam kenyataan baru-baru ini telah melupuskan pegangannya tetapi pegangan KWSP yang besar sekitar 7% sejak 2013, membawa nilai kerugian yang banyak.

“Anak juga mendesak pelabur institusi lain seperti KWAP, Tabung Haji, Felda Asset Holding Company Sdn Bhd, Felda Badan Berkanun dan Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan status pegangan saham mereka dalam FGV.

“Adakah masih ada dan nilai kerugian yang di alami?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan turut berkata, Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mencarum RM800 juta dalam FGV, ibarat sudah jatuh di timpa tangga ekoran ekuiti 51% milik mereka dalam Felda Holding  telah diambilalih oleh FGV dengan nilai RM2.2 bilion.

“Sejumlah RM800 juta dari RM2.2 bilion tersebut di jadikan pegangan saham dalam FGV dan rugi teruk!

“Oleh kerana para peneroka, kakitangan Felda dan sebahagian besar rakyat terlibat secara langsung sebagai pencarum/pendeposit dalam KWSP, KWAP dan Tabung Haji, Anak sekali lagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja menyiasat secara terperinci akan skandal terbesar membabitkan Felda dan FGV ini.

Dakwanya lagi, difahamkan kerugian semasa yang di alami dana awam/pelabur institusi dalam FGV mencecah RM5 bilion.

“Anak amat bimbang mengenai masa depan institusi kebanggaan bumiputera seperti Felda, jika ‘pelan menyelamat’ tidak dilakukan segera,” tegasnya.

Hari ini dilaporkan harga saham FGV susut 4.94 peratus pada tengah hari, berikutan pengumuman KWSP bahawa ia tidak lagi mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat itu.

Pada jam 12.30 tengah hari, saham FGV susut lapan sen kepada RM1.54 dengan 6.98 juta saham bertukar tangan. Saham berlegar antara harga RM1.54 dan RM1.60 sepanjang sesi pagi.

TAGS