Anak jalan kaki 254 km bantah lombong bauksit selepas bapa terlantar

Anak jalan kaki 254 km bantah lombong bauksit selepas bapa terlantar

Sejak perlombongan bauksit di Bukit Goh, Kuantan, bapa kepada Razali Abu Bakar, sakit teruk akibat debu merah yang dihasilkan oleh bahan yang mendapat permintaan tinggi dari China ini.

Sejak perlombongan bauksit di Bukit Goh, Kuantan, bapa kepada Razali Abu Bakar, sakit teruk akibat debu merah yang dihasilkan oleh bahan yang mendapat permintaan tinggi dari China ini.

Bapanya terlentang akibat sakit asma yang teruk. Razali cukup marah dengan apa yang berlaku namun tidak tahu apa yang perlu dibuat bagi menyatakan bantahan.

Beliau lega bila perlombongan bauksit ini dihentikan sementara melalui apa yang dinamakan sebagai tempoh moratorium atau pergantungan sementara.

Namun beliau sedar ia hanya sementara. Selepas tempoh ini habis iaitu pada 15 April ini, lombong bauksit itu akan dibuka semula dan bapanya sekali lagi akan terdedah dengan bahaya dari debu bauksit.

Apabila ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menganjurkan kempen bagi melanjutkan tempoh moratorium perlombongan bauksit ini, Razali antara pihak yang gembira kerananya.

Lalu beliau menyertai kempen Red2Green iaitu berjalan kaki dari Kuantan ke Parlimen Malaysia bagi menyerahkan memorandum bagi menuntut kerajaan agar melanjutkan tempoh moratorium ini.

Yeo yakin dapat habiskan misi berjalan kaki sejauh 254 km dari Kuantan ke Parlimen.Razali serta Yeo Kim Kee, 62, adalah dua peserta larian ini yang kekal berjalan hingga kini.

Kedua-dua mereka berazam mahu menamatkan perjalanan dari awal hingga akhir, iaitu dari Kampung Kubang Badak, Beserah pada 12 Mac hingga ke Parlimen Malaysia (28 Mac) yang jaraknya kira-kira 254 km.

Yeo tinggal di Taman Impian, Kuantan, kawasan yang menjadi laluan lori pembawa bauksit ke pelabuhan Kuantan. Walaupun sudah berusia, beliau sangat bersemangat mahu menjayakan perjalanan ini.

“Kami tidak bercadang mahu menyekat perlombongan ini tetapi mahu ia dijalankan dengan sempurna dan tidak menyebabkan pencemaran sama ada udara, air atau di atas jalan raya yang dilalui kenderaan pembawa bauksit sebagaimana yang berlaku sebelum ini,” kata Fuziah kepada Malaysia Dateline.

Sehubungan itu, beliau dan peserta jalan kaki kempen ini akan menyerahkan memorandum cadangan dalam menguruskan perlombongan bauksit bukannya mahu ianya ditutup terus.

“Yang pasti kita cadang agar tempoh moratorium dilanjutkan selepas 15 April ini kerana Fasa 1 pun masih belum selesai lagi,” kata Fuziah merujuk kepada tempoh moratorium yang mempunyai tiga fasa membabitkan pembersihan kesan perlombongan bauksit yang berlaku sebelum ini.

“Ada orang kata kita kena tamatkan tempoh ini kerana ramai driver lori yang hilang pekerjaan kerananya. Saya katakan, kita nak jaga kepentingan orang ramai ke orang yang sedikit. Lebih 700,000 rakyat Kuantan terdedah kepada risiko ini sekarang. Kita mesti jaga kepentingan majoriti penduduk yang bermasalah hasil dari perlombongan ini,” kata Fuziah.

Bagi beliau, mencuci badan lori sebelum keluar kawasan perlombongan tidak akan menyelesaikan masalah kerana ia hanya mengelakkan jalan raya menjadi merah sahaja.

“Bagaimana dengan perlombongan di hulu sungai yang menyebabkan air tercemar, ini lagi teruk kesannya bila kita guna air itu,” kata Fuziah yang mencadangkan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat jika tempoh moratorium ini mahu diberhentikan.

Fuziah bersama Razali dan Uncle Yeo, serta para peserta kempen ini akan menyerahkan memorandum kepada menteri dan ahli parlimen Malaysia pada 28 Mac ini bagi menuntut agar tempoh moratorium ini dilanjutkan untuk kepentingan rakyat terbanyak.

TAGS