Anak muda akan ambil tindakan mahkamah ke atas Najib

Anak muda akan ambil tindakan mahkamah ke atas Najib

Gerakan Anak muda Tolak Najib (GANT1) yang bergerak dalam ruang lingkup perlembagaan negara, undang-undang dan secara demokratik akan mengambil tindakan mahkamah ke atas Datuk Seri Najib Razak ekoran Skandal Penyelesaian Tuntutan Arbitrasi IPIC-1MDB.

Faiz Fadzil berkata notis tuntutan akan dikeluarkan dalam masa seminggu Wakil sekretariat bagi menentang tindakan salah laku Perdana Menteri itu, Faiz Fadzil berkata, usaha tersebut merupakan satu tindakan konkrit bagi menyelamatkan wang rakyat Malaysia daripada terus disalah guna.

“Sebagai langkah pertama, kami bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri dan pihak terbabit yang akan diuruskan okeh Tetuan Haniff Katri.

“Notis Tuntutan akan dikeluarkan dalam minggu ini,” tegasnya pada sidang media di Restoran Amjal berdekatan Universiti Malaya (UM) hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional itu berkata, tempoh 10 hari untuk Perdana Menteri membuat penjelasan awam berhubung tuntutan firma dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang mencecah RM26.5 bilion (AS$6.5 bilion) itu sehingga hari ini masih tidak mendapat maklum balas Najib.

“Memandangkan penyelesaian tuntutan arbitrasi ini melibatkan wang rakyat, kami sebagai warganegara yang sah merasa sungguh kecewa dengan tindakan regresif Perdana Menteri,” katanya pada sidang media yang juga dihadiri pemimpin muda dari Amanah, DAP, PKR serta mahasiswa itu.

Pada 4 Mei lalu, Pemuda Amanah Nasional menyerahkan memorandum kepada Najib melalui Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya menuntut penjelasan berhubung skandal penyelesaian tuntutan arbitrasi IPIC-1MDB yang disifatkan sebagai merugikan negara.

IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment PJS (Aabar) telah membuat tuntutan arbitrasi di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada 14 Jun 2016.

Dalam permohonan itu, IPIC menuntut sejumlah RM26.5 bilion (AS$6.5 bilion) di atas kegagalan 1MDB dan Kementerian Kewangan menunaikan obligasi kontrak.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, sikap berdiam diri Najib dalam menjawab isu dan persoalan berkaitan skandal 1MDB juga tidak mencerminkan akauntabiliti Presiden Umno itu sebagai Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Apatah lagi penyelesaian tuntutan ini mengesahkan prima facie kes bahawa wang awal yang dibayar sebanyak RM15.5 bilion (AS$3.5 bilion) kepada syarikat palsu Aabar Investment PJS Ltd yang ditubuhkan di British Virgin Island adalah bayaran yang salah, curang dan fraud.

“Ironinya, tiada tindakan undang-undang diambil oleh pihak berautoriti di negara ini terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB tersebut,” bidas peguam itu.

Menurutnya, tindakan Pejabat Perdana Menteri yang terbabit dalam rundingan penyelesaian tersebut seolah-olah satu tindakan bagi menutup segala perbuatan jenayah yang dilakukan oleh individu-individu yang rapat dengan Najib.

“Apatah lagi beliau sendiri didakwa menerima RM132 juta (AS$30 juta) daripada wang haram ini. Penyelewengan yang dilakukan Perdana Menteri ini adalah satu bentuk kezaliman terhadap rakyat yang perlu ditentang sebagaimana yang dituntut dalam agama,” tegasnya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama anak muda yang cintakan negara ini tanpa mengira latar belakang kaum, agama, umur, profesion dan ideologi politik supaya bangkit dengan sukarela mengisi nama dalam Petisyen Rakyat untuk menjadi plaintif iaitu pihak menuntut bersama bagi membawa Perdana Menteri ke muka pengadilan.

Jelasnya, tindakan saman bagi menyelamatkan wang rakyat yang telah disalah gunakan begitu banyak itu akan dibawa dalam bentuk ‘Class Action’ sebagai suara rakyat Malaysia yang mahu mempertahankan hak selaku pembayar cukai dan bagi menegakkan keadilan. 

“Kami sebagai anak muda dalam negara ini yang mempunyai hak saksama yang dijamin Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tidak akan mengizinkan negara tercinta ini diperintah secara autokratik oleh kleptokrat. 

“Anak muda perlu memandang skandal ini sebagai suatu yang serius dan ancaman sebenar kepada masa depan negara. Hutang yang mengalir daripada penyelewengan ini akan ditanggung oleh kita yang sudah cukup tertekan dijerut dengan pelbagai peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Faiz, GANT1 menyedari tindakan undang-undang akan melibatkan kos yang tinggi.

“Justeru kami merayu agar rakyat Malaysia yang budiman untuk menyalurkan bantuan kepada tabung yang akan kami umumkan kelak yang transaksinya akan sentiasa didedahkan kepada umum,” tambahnya lagi.

Rakyat Malaysia boleh mengetahui segala perkembangan melalui akaun Facebook ‘GANT1’.

Orang ramai juga boleh memuat turun Petisyen Rakyat melalui laman sosial Facebook GANT1 atau klik di 
https://goo.gl/forms/vhi7cIYSXDN5KL5u2 selain akan diedarkan secara manual oleh pihak sekretariat GANT1.

Turut hadir pada sidang media hari ini Datuk Seri Khairudin Abu Hassan; peguam Hanif Katri; Dapsy Horward Lee, Sefura Othman; AMK Wanji Wan Hussin; Armada Mahadir serta pemimpin Pemuda dan Wanita Amanah.

TAGS