Anak muda bukan ‘macai’ kepada pemerintah korup, tegas Pemuda Amanah

Anak muda bukan ‘macai’ kepada pemerintah korup, tegas Pemuda Amanah

 

Integriti dan solidariti masyarakat majmuk merupakan dua unsur asas yang penting dan mampu melonjak negara ini ke tahap yang lebih baik dan maju, ujar Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Integriti dan solidariti masyarakat majmuk merupakan dua unsur asas yang penting dan mampu melonjak negara ini ke tahap yang lebih baik dan maju, ujar Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

“Kepimpinan korupsi dan kleptokrasi bukan elemen yang sihat untuk masa depan negara dan anak muda. Anak muda bukanlah ‘macai’ kepada pemerintah yang korup dan zalim,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, masanya telah tiba untuk golongan muda samaa ada Melayu atau bukan Melayu juga di bandar atau luar bandar mahupun profesional atau buruh untuk bangkit secara total menolak kepimpinan Umno.

“Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyokong kenyataan Perdana Menteri bahawa DAP akan memerintah negara ini jika Umno hilang kuasa amat menjengkelkan dan tidak mencerminkan sifat kepimpinan masa depan negara.

“Ucapan yang berbaur perkauman ini boleh memprejudiskan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini yang menjadi tulang belakang pembinaan dan pembangunan Malaysia.

“Ternyata, slogan 1Malaysia yang disorak kerajaan telah diabaikan oleh Khairy semata-mata bagi memastikan Umno terus kekal di tampuk kekuasaannya,” bidasnya.

Mengulas ancaman DAP terhadap Melayu seperti dimomokkan Umno, Faiz menyifatkan pendekatan rasis Umno itu jelas tidak berpandukan fakta dan bercanggah dengan realiti sebenar.

“Umno mendakwa mereka adalah parti politik yang mewakili orang Melayu. Ironinya, bukan isu orang Melayu yang diperjuangkan, tetapi DAP yang diserang.

“DAP hanya bertanding di kawasan yang majoritinya penduduk bukan Melayu di mana dalam PRU (Pilihan Raya Umum) ke-13 yang lalu, hanya 51 daripada 222 kerusi parlimen yang DAP tandingi.

“Penduduk Cina di negara ini pula hanya sekitar 24 peratus. DAP pula tidak bertanding di kerusi Umno dalam pilihanraya. Justeru, dalam keadaan ini, bagaimana DAP mampu untuk memerintah negara ini?” selarnya.

Justeru, beliau menganggap serangan terhadap DAP itu merupakan satu bentuk intimidasi politik ke atas orang Melayu sedangkan penolakan orang Melayu terhadap Umno tidak pun akan memenangkan DAP memandangkan parti politik lain yang menentang Umno seperti PKR, Amanah dan PPBM.

“Hak keistimewaan orang Melayu di dalam Perlembagaan akan terus kekal dan tidak akan diganggu. Hak dan kepentingan orang Melayu akan terus dipertahankan dan diuruskan dengan lebih baik jika orang Melayu memilih calon Pakatan Harapan yang berpegang kepada prinsip urus tadbir dan integriti sebagai asas perjuangan dan transformasi sistem pemerintahan.

“Amat malang apabila Perhimpunan Agung Umno lalu dijadikan medan membangkitkan api perkauman tanpa membincangkan masalah anak muda dan penyelesaiannya.

“Anak muda pada masa ini dibelenggu dengan masalah sosioekonomi yang semakin meruncing antara lain peluang pekerjaan, kebanjiran pekerja asing, GST, kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga barang, harga rumah dan kos pengangkutan awam serta hutang pendidikan,” katanya lagi.

Korupsi musuh utama 

Faiz yang juga peguam menegaskan segala masalah tersebut berpunca daripada salah urus tadbir dan penyelewengan kerajaan yang diterajui Umno.

“Korupsi menjadi musuh utama negara hari ini hingga mewujudkan pemerintahan kleptokrasi. Anak muda pula dihalang dan dinafikan hak mereka dalam memperjuangkan maksud sebenar demokrasi.

“Perlu juga disedari bahawa hutang negara yang mencecah RM800 bilion akan ditanggung oleh rakyat. Kehidupan dan masa depan anak muda serta generasi mendatang begitu terancam kerana terpaksa mewarisi hutang yang melampau tinggi ini.

“Kehidupan orang Melayu yang susah hari ini berpunca daripada penyelewengan dan kelemahan pentadbiran Umno. Institusi dana awam orang Melayu seperti Felda, Mara dan Tabung Haji pula menanggung kerugian dan hutang yang begitu banyak. Melayu akan binasa jika korupsi terus berkuasa,” jelasnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, situasi menjadi lebih parah apabila Khairy gagal menegur isu rasuah terutama penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Perdana Menteri seolah-olah kepimpinan korupsi akan diteruskan jika Umno kekal berkuasa.

“Namun, ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang diterajui oleh Khairy sendiri terpalit dengan kes penyelewengan dana sebanyak RM100 juta.

“Hegemoni hanya Umno kononnya pembela orang Melayu harus ditolak kerana sentimen perkauman yang dicanangkan oleh Khairy ini tidak membebaskan anak muda daripada kemelut penderitaan kehidupan hari ini. Jika tidak ia akan kekal menjadi dejavu,” tambahnya lagi.

TAGS