Anak tuntut lima perkara dalam Pelan Memperkasakan Felda

Anak tuntut lima perkara dalam Pelan Memperkasakan Felda


Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menuntut  lima perkara kepada kerajaan  untuk diberikan perhatian yang menyumbang kepada berlakunya kepincangan, salah urus dan penyelewengan membabitkan projek Felda seperti terkandung dalam Laporan Jabatan Audit Negara.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Mazlan Aliman

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menuntut  lima perkara kepada kerajaan  untuk diberikan perhatian yang menyumbang kepada berlakunya kepincangan, salah urus dan penyelewengan membabitkan projek Felda seperti terkandung dalam Laporan Jabatan Audit Negara.

Presidennya  Mazlan Aliman menegaskan, dengan pengumuman kerajaan mengenai Pelan Memperkasa Felda yang bakal di umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hujung bulan ini, Anak telah menyenaraikan lima tuntutan kepada kerajaan untuk diberikan perhatian.

“Anak menggesa dan merayu ketegasan Perdana Menteri khususnya mengenai langkah langkah segera ekoran Laporan Jabatan Audit Negara berkaitan isu-isu kepincangan, salah urus dan dakwaan penyelewengan dalam projek Felda seperti dibangkitkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru Anak  ujarnya, menuntut  agar kontrak Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang akan berakhir 31 Dis 2016 ini tidak di sambung lagi.

“Bukan sekadar itu, siasatan terhadap Tan Sri Isa sepanjang menjadi Pengerusi Felda, Pengerusi FGV, Pengerusi Felda Holding dan pengerusi anak-anak syarikat seperti yang dilaporkan kepada Polis dan SPRM mesti diteruskan dan tindakan undang-undang dilaksanakan.

Kedua, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja mengenai kedudukan Felda dan Felda Global Venture Holding.

“Suatu audit bebas di wujud dan menjalankan pemeriksaan rapi kepada perjalanan Felda, FGV dan semua anak anak syarikat. Suruhanjaya ini diminta mengumumkan hasil siasatan mereka setelah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong. Ia bagi memudahkan pihak berotoriti untuk melakukan pendakwaan dan mengheret mereka terbabit ke muka pengadilan.”

Ketiga, kerajaan mesti mengotakan janji menyiapkan 11,000 unit perumahan Gen 2 Felda yang terbengkalai. Ia ujarnya, selaras dengan janji Perdana Menteri ketika membentangkan bajet beberapa tahun lalu untuk projek 20,000 unit rumah Gen 2.

“Tender terbuka untuk menyiapkan rumah terbengkalai mesti dikeluarkan, bukan runding terus kepada ‘kroni’ yang membuka ruang kepada amalan rasuah dan penyelewengan. Anak sedia mendedahkan maklumat dalaman ada syarikat diberi projek ini secara runding terus.”

Keempat, amalan membayar pendapatan hasil samada peneroka yang bersama Felda atau mengusahakan kebun secara persendirian tapi masih menjual hasil di Kilang Felda, di buat segera atau seperti dahulu. Pada ketika ini, ujarnya lagi, pembayaran bukan sahaja lambat tetapi memberi kesan teruk terhadap kehidupan seharian peneroka.

Dan kelima, ujarnya kerajaan perlu mengkaji dengan serius isu Hutang Peneroka dan Kos Tanam Semula yang mencecah RM100,000 keatas.

“Ia sesuatu yang menghairankan dan menimbulkan rasa tidak puashati, bagaimana angka hutang begitu tinggi. Suatu Panel Khas yang bebas mesti dibentuk untuk membuat siasatan dan mengemukakan mekanisme terbaik menangani hutang peneroka,” ujarnya yang mengalu-alukan pengumuman kerajaan mengenai Pelan Memberkasakan Felda yang akan diumumkan perdana menteri itu.

Dalam satu laporan dipetik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata, perdana menteri dijangka mengumumkan hasil dan langkah terbaharu dalam memantapkan Felda hujung tahun ini.

Laporan menyebut ia akan diumumkan sebaik sahaja pembentangan interim makmal pemantapaan Felda dijangka selesai sepenuhnya pada Oktober lalu yang sudah memasuki fasa kedua kepada aspek pengurusan dan perladangan.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, beliau menjangkakan beberapa pengumuman akan dibuat sebaik sahaja semua urusan berkaitan makmal itu selesai dijalankan.

TAGS