Anina layak jadi ketua srikandi, politikus, kata Naib Presiden Bersatu

Anina layak jadi ketua srikandi, politikus, kata Naib Presiden Bersatu

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpandangan Anina Saadudin mempunyai kelayakan untuk dilantik sebagai Ketua Srikandi dan menjadi seorang politikus.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

TanSri Abd Rashid Abd Rahman

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul  Rashid Abdul Rahman berpandangan Anina Saadudin mempunyai kelayakan untuk dilantik sebagai Ketua Srikandi dan menjadi seorang politikus.

Beliau juga berkata tidak tahu menahu sebab Anina tidak dilantik mengetuai sayap wanita sebagai Ketua Srikandi oleh Majlis Presiden baru-baru ini.

“Saya nak tanya juga apa halnya. Saya secara peribadi tidak pernah kenal dia dan sama ada dia di ‘frame out’ saya tidak tahu.

“Bagi saya, dia antara individu yang awal mengerakkan parti ini.

“Jika tidak ada benda ni (dakwaan skandal seks) jika ditolak ke tepi bagi saya, dia boleh jadi Ketua Srikandi.

“Dia seorang yang aktif, berdikari, jurucakap yang baik dan mempunyai perwatakan yang amat baik sebagai seorang politikus,”ujarnya  kepada Malaysia Dateline.

Beliau mengulas mengenai krisis dalaman membabitkan Anina Saadudin selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu. Anina antara salah seorang daripada 7 ahli penaja Bersatu yang ditubuhkan pada 9 September lalu. Anina kemudiannya aktif dilihat mengetuai sayap wanita itu untuk mengerakkan parti.

Anina mendakwa penyingkiran beliau dari memegang jawatan ketua srikandi  oleh Majlis Presiden disebabkan skandal mesej seks yang dikaitkan dengannya dan juga mendakwa beliau tidak tahu menahu bila Majlis Presiden diwujudkan.

Abdul Rashid menjelaskan Majlis Presiden sudah diwujudkan dari awal parti itu ditubuhkan pada 9 September lalu.

Justeru tidak timbul pertikaian seperti dakwaan Anina tidak tahu mengenai kewujudan Majlis Presiden yang telah menyingkirkannya kerana kemungkinan ada hubungkait dengan skandal seksnya yang diviralkan.

“Majlis Presiden telah diwujudkan sebelum saya masuk parti ini. Anggota majlis ini disertai Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

“Mereka yang akan membuat keputusan di atas pelantikan setiap jawatan dalam parti oleh Majlis Presiden.

“Jadi apa yang diputuskan Majlis Presiden mestilah kita akur dan ada sebab munasabahnya.

“Bila lihat kepada ketokohan Muhyiddin saya percaya dia telah membuat keputusan yang tepat dan baik untuk parti.

“Walaupun tanpa skandal ini, bagi pandangan saya, Anina amat layak sebagai Ketua Srikandi.

“Sebagai Naib Presiden saya nak nasihatkan dia ‘stay cool’ kita akan selesaikan, jangan pedulikan orang luar. Orang luar mahu lihat kita berpecah.

“Saya yakin tanpa Anina parti tidak akan berpecah,” ujarnya membidas dakwaan sesetengah pihak yang mula melihat isu membabitkan Anina ini boleh mengundang perpecahan ahli.

Beliau juga tidak tahu siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Srikandi yang dijangka akan diumumkan parti dalam jangka masa terdekat ini.

“Kita perlukan seorang pemimpin Srikandi yang hebat untuk mengetuai sayap wanita. Lagipun saya belum jumpa rangkaian wanita untuk dicalonkan, tidak pasti lagi kerana saya pun belum kenal (siapa yang layak),” ujarnya yang menegaskan beliau turut terlibat sebagai salah seorang komiti untuk mencari calon dalam jawatan parti di setiap peringkat dan  senarai  calon bagi pilihan raya akan datang untuk mewakili parti itu yang diketuai Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir. 

Anina turut mendakwa beliau sudah mengangkat sumpah sebagai Ketua Srikandi pada 2 November lalu.

Abdul Rashid menjelaskan, angkat sumpah yang dilakukan Anina itu adalah sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti bukan sebagai Ketua Srikandi.

“Saya tidak pasti sama ada secara rasmi beliau dilantik sebagai ketua srikandi. Saya juga tidak pernah melihat satu urusan rasmi parti yang merujuk dia sebagai ketua srikandi. Saya juga tidak pernah diberitahu Anina ketua srikandi.

“Dia angkat sumpah hanya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi,” jelasnya.

 

TAGS