Anwar-Mahathir: Tamatkan segera bebanan rakyat, kata Dr Dzulkefly

Anwar-Mahathir: Tamatkan segera bebanan rakyat, kata Dr Dzulkefly

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pastikan segala kebobrokan yang telah merendahkan negara bangsa dan membebankan rakyat ini ditamatkan segera dengan izin Allah jua, kata Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.

Itu penegasan beliau ketika diminta mengulas kehadiran Tun Mahathir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Satu peristiwa ‘ajaib’. Tentunya menjanjikan satu permulaan baru buat naratif politik Malaysia. Maruah, martabat dan kedaulatan negara serta institusi-institusinya perlu segera diperteguhkan dan diberdayakan kembali,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berpendapat ramai rakyat mahu menyaksikan pertautan kedua-dua negarawan itu yang masing-masing berjiwa besar demi mengangkat agenda memakmurkan rakyat dan menyelamatkan negara.

“Satu titik mula semula, yang meneruskan gandingan kepemimpinan dua tokoh besar ini, yang masih menantikan natijah tertangguh kepimpinan mereka selama hampir dua dasawarsa.

“Mereka tidak punya waktu lagi untuk berlengah membicarakan perihal ‘titik-bengik kesilapan silam’. Ya, bukan mudah melupakan semua sejarah ‘hitam’ itu. Namun mereka lebih memahami tuntutan mendesak rakyat dan negara sekarang.

“Apakah akan kita saksikan erti dan makna kata-kata hikmah orang tua kita dahulu iaitu biduk berlalu, kiambang bertaut,” kata Dr Dzulkefly lagi.

Dr Mahathir yang ditemani Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menunjukkan sokongan kepada Anwar yang memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Kedua-dua pemimpin itu bertegur sapa dan bersalaman buat kali pertama selepas 18 tahun Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri

TAGS